BR1M idea Bank Negara, tiada tujuan politik, kata Najib


najib razak

(The Malaysian Insider) – Bantuan tunai di bawah program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) merupakan cadangan Jawatankuasa Fiskal Bank Negara Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini, menolak dakwaan ia mempunyai tujuan politik.

Berucap pada program perasmian projek perumahan rakyat Melana Indah, Johor Baru pagi ini, Najib berkata dakwaan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang BR1M akan menjadikan rakyat malas adalah tidak benar, sebaliknya ia menolong 40% rakyat peringkat bawahan.

“Kita akan terus menolong rakyat untuk menangani kos sara hidup rakyat. Kita perkenalkan BR1M. Tun (Mahathir) kata BR1M buat rakyat malas. Dia tak setuju.

“Tapi BR1M bukan buat kita malas. Ia jaringan keselamatan, memindah kekayaan negara dalam jangka masa pendek,” kata Najib, di depan kira-kira 15,000 hadirin.

Beliau turut mengajukan soalan sama ada BR1M menjadikan mereka semakin malas.

“Saya nak tanya tuan-tuan hari ini. Berapa ramai yang terima BR1M, apakah BR1M jadikan tuan-tuan malas?” disambut teriakan “Tidak!” oleh mereka yang hadir.

“Nak teruskan?” soalnya, dan dijawab “Nak!”

“Kalau tidak mahu BR1M boleh pulang balik, kita mansuhkan,” katanya.

Najib berkata BR1M yang disalurkan kepada rakyat berpendapatan rendah bertujuan membeli keperluan harian, dan kerajaan tidak boleh disalahkan sekiranya penerima membelanjakannya untuk perkara tidak bermanfaat.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...