PAS bersedia tarik sokongan bukan Islam tanpa DAP


i967.photobucket.com_albums_ae159_Malaysia-Today_Mug shots_Nasrudin-Hassan-Tantawi_zps72bbf0e6

(Agenda Daily) – Ketakutan yang cuba digembar-gemburkan oleh pemimpin PAS pro Datuk Seri Anwar Ibrahim (Anwarinas) adalah PAS akan kehilangan undi bukan Islam jika sekiranya meninggalkan pakatan pembangkang.

Ia menyebabkan cita-cita PAS meluaskan tapaknya ke Pantai Barat Semenanjung tidak tercapai, namun Ahli Parlimen PAS Temerloh Nasrudin Hassan mempunyai pandangan berbeza.

Menurut Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat ini parti itu tidak tidak perlu lagi bergantung kepada DAP untuk mendapatkan sokongan golongan bukan Islam.

Formulanya adalah dengan memperkasakan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) iaitu tempat untuk ahli bersekutu PAS dari golongan bukan Islam.

Jelas Nasaruddin meskipun DAP begitu ghairah mencipta alasan untuk menolak perjuangan Islam yang dibawa PAS, sikap tersebut tidak dikongsi oleh keseluruhan golongan bukan Islam di negara ini.

“DHPP mempunyai pasaran luas dan medan yang lebar untuk beraksi dan bertindak sebagai salah satu sayap penting kepada PAS. Usia yang muda berbanding sayap Ulama, Pemuda dan Muslimat tidak menjadi alasan untuk DHPP mara sebaris dengan dewan-dewan yang lain bagi mengimbangi kekuatan PAS masa kini.

“Saya sendiri menaruh harapan serupa agar DHPP makin bertenaga dan proaktif. Sehinggalah orang bertanya bagaimana hubungan PAS dengan ‘non muslim’ (bukan Islam), maka kita yakin menjawab ‘DHPP Kan Ada!’,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook miliknya pada Isnin.

DAP sejak kebelakangan ini dilihat banyak menyinggung PAS dalam beberapa perkara termasuk pendirian memutuskan hubungan dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta bantahan keras terhadap pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyifatkan hati Abdul Hadi kini bersama UMNO, hanya jasad yang ada bersama Pakatan.

Ketua Menteri Pulau Pinang mendakwa ia disebabkan Ahli Parlimen Marang itu bukan sahaja gagal menyertai kempen tetapi juga tidak menyatakan sokongan terhadap Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pada Pilihan Raya Kecil di Permatang Pauh pada 7 Mei lalu.

“Ini cukup jelas menunjukkan hanya tubuh yang tinggal bersama pembangkang tetapi hatinya bersama UMNO.

“Jadi kenapa mahu susah, kalau ada keinginan, tinggalkan Pakatan,” katanya di lobi Parlimen Isnin.

Serangan bertubi-tubi DAP terhadap Hadi dilihat sebagai usaha akhir untuk berkempen dalam pemilihan PAS Jun ini.

 



Comments
Loading...