Mat Sabu tunjuk wajah sebenar


Dr Mohd Zuhdi Marsuki

(Sinar Harian) – Tindakan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu mengkritik Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu ceramah telah menunjukkan pendirian sebenar beliau dengan tidak menyokong kepimpinan presiden parti itu.

Demikian kata Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marsuki ketika diminta mengulas berhubung tindakan Mohamad mempertikaikan kemampuan Abdul Hadi untuk menawan Terengganu di dalam ucapannya di Tumpat, malam Jumaat lalu.

Beliau mendakwa, wujud pihak cuba memburuk-burukkan sesama sendiri menjelang Muktamar Tahunan PAS tahun ini.

“Sepertimana yang pernah saya utarakan sebelum ini, semakin hampir Muktamar PAS, dua pertiga bongkah ais Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) semakin muncul.

“Sebelum ini hanya satu pertiga sahaja muncul melalui Presiden Pasma, Datuk Ir Pahrolrazi Zawawi. Mohammad ini rapat dengan Pahrolrazi, justeru kenyataan dia (Mohamad) yang terbaru ini membenarkan jangkaan saya sebelum ini,” katanya.

Mohd Zuhdi dalam satu kenyataan sebelum ini mendakwa Pasma sedang berusaha menguasai Pas dengan cuba menyusun barisan pemimpin dan direalisasikan melalui muktamar tahun ini.

Katanya, sekiranya Pasma gagal dalam percaturan mereka kemungkinan Pasma akan menjadi sebuah parti dan bakal menggantikan PAS dalam PR.

Mengulas lanjut, Mohd Zuhdi berkata, analisis Mohamad mengenai kemenangan dan kekalahan PAS di Terengganu sangat simplistik dan tidak menyeluruh.

“Dia (Mohamad) hanya melihat pilihan raya ini sebagai peluang untuk berkuasa, bukan untuk tujuan lain seperti peluang berdakwah menyampaikan mesej Islam dan mengutarakan pembelaan terhadap masyarakat,” katanya.

Mohd Zuhdi turut mendakwa pandangan Mohamad terhadap politik di negara ini hanya terarah kepada dua parti utama iaitu BN dan PR.

“Beliau hanya melihat dengan dua wajah, jika tidak hitam mesti putih, jika tidak putih mesti hitam. Sedangkan dalam dunia politik, ruang kelabu yang berada antara hitam dan putih itu adalah yang paling luas.

Apa yang perlu dilakukan oleh PAS adalah mengambil peluang dan memanfaatkannya,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Satiful Bahri Mamat membidas kenyataan terbaharu Mohamad Sabu yang mempertikai prestasi Presiden PAS.

Menurutnya, Mohamad yang mengekalkan jawatan Timbalan Presiden Pas sepatutnya membuat perbandingan dengan pencabarnya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan bukannya Abdul Hadi.

“Kalau benar-benar hendak kira prestasi, sepatutnya dibuat perbandingan antara presiden dan calon presiden (Ahmad Awang). Ahmad Awang tidak pernah menang (dalam pilihan raya) tetapi Datuk Seri Abdul Hadi sudah berapa lama menjadi Ahli Parlimen dan kalah sekali sahaja.

Jelasnya, jika mahu diungkit prestasi pilihan raya, Mohamad tidak sepatutnya melihat prestasi Abdul Hadi di Terengganu sahaja, sebaliknya secara keseluruhan.

“PAS berjaya mendapat Terengganu sebanyak dua kali iaitu 1959 dan 1999. Pada 1999 kita habiskan satu penggal tetapi di Perak tidak sempat. Sebab apa Perak jatuh? Kerana lompat parti. Tiada ahli PAS lompat parti, yang ada PKR dan DAP,” katanya.

Beliau turut mengingatkan Mohamad supaya tidak membangkitkan unsur-unsur membawa perpecahan ahli PAS.

Katanya, jika Mohamad diberi kepercayaan menjadi pemimpin selama ini, beliau juga perlu bersedia dipimpin sekiranya orang lain diberi kepercayaan dan meminta Mohamad menghormati keputusan perwakilan pada pemilihan nanti.

 



Comments
Loading...