Dewan Ulama cabar Guan Eng pecat semua wakil PAS di P.Pinang


Lim-Guan-Eng

(Agenda Daily) – Dewan Ulama PAS Selangor mencabar Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng untuk memecat kesemua ahli PAS dalam jawatan lantikan kerajaan di negeri pimpinannya.

Setiausahanya, Muhammad Najhan Halim berkata, ia susulan tindakan pemimpin DAP itu yang gopoh menggesa Kepimpinan baru PAS mengarahkan kesemua wakil partinya dalam kerajaan negeri Pulau Pinang melepaskan jawatan.

“Sekiranya DAP benar-benar ingin melihat PAS tiada dalam kerajaan Pulau Pinang, lebih senang, cepat dan lebih profesional Lim Guan Eng sendiri sebagai Ketua Menteri memecat semua Ahli PAS dalam jawatan lantikan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Setiausaha Agung DAP itu Isnin lalu menggesa Kepimpinan baru PAS mengarahkan kesemua wakil partinya dalam kerajaan negeri Pulau Pinang melepaskan jawatan, susulan keputusan Muktamar PAS yang meluluskan usul Dewan Ulama untuk memutuskan hubungan dengan DAP.

Najhan dalam pada itu berkata, ahli atau wakil PAS yang menjawat jawatan di negeri itu tidak perlu panik dengan kenyataan Guan Eng, sebaliknya memberi kepercayaan kepada pimpinan parti yang baru dilantik sebagaimana sebelum ini.

Tambahnya lagi, PAS telah menegaskan bahawa keputusan penerimaan Usul Dewan Ulamak Pas Pusat akan dibawa ke Mesyuarat Syura dan Jawatankuasa Kerja Pas Pusat untuk diperinci dan diperhalusi.

Mengenai gesaan Guan Eng beberapa hari lalu itu, ujar Najhan, Setiausaha Agung DAP itu bertindak ‘tidak profesional’ hanya atas alasan bahawa Kerajaan Pulau Pinang dipimpin oleh DAP.

“Lupakah Lim Guang Eng kerajaan DAP adalah dimenangi secara bersama dalam Pakatan Rakyat dan kerajaan itu adalah kerajaan bersama?. Jangan bertindak seperti UMNO BN yang tidak mampu membezakan antara kerajaan dan parti politik.

“Adakah DAP sudah lupa indentiti dirinya sendiri yang pernah mendakwa diri mereka sebagai perjuang demokrasi dalam negara ini?,” soal Najhan.

Tambahnya lagi, PAS tetap bersama Pakatan Rakyat dalam meneruskan tahaluf siyasi dan kerajaan PKR di Selangor tidak terjejas dengan usul tersebut.

“Segala urusan kerajaan di Selangor hendaklah diteruskan seperti biasa demi kepentingan dan kepercayaan rakyat yang memberi mandat kepada Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor,” katanya.

 



Comments
Loading...