Kumpulan kecewa dalam PAS diibaratkan ‘daun-daun yang gugur’


tuanibrahim_400_260

(Agenda Daily) – “Bila ribut datang, akan adalah ranting dan daun-daun yang gugur. Maka yang akan tinggal ialah ranting, dahan dan daun-daun yang kuat dan segar”

Bekas pemimpin PAS yang kecewa dan meninggalkan parti tersebut disifatkan oleh Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan man sebagai ‘daun-daun yang gugur’.

Menurutnya senario yang berlaku pada Muktamar Agung PAS ke-61 baru-baru ini disifatkan seperti ribut yang melanda parti berkenaan, namun semua yang berlaku itu ada terselit hikmah di sebaliknya.

“Bila ribut datang, akan adalah ranting dan daun-daun yang gugur. Maka yang akan tinggal ialah ranting, dahan dan daun-daun yang kuat dan segar,” tulis Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man di laman Facebook rasmi beliau Isnin.

“Tahniah kepada semua ahli dan pimpinan PAS yang terus beristiqamah.

“Inilah erti di sebalik tema Muktamar iaitu istiqamah sehingga kemenangan iaitu kemenangan menegakkan Islam di dunia dan kemenangan sewaktu bertemu Allah di akhirat,” katanya dalam posting Facebook berkenaan.

Kenyataan Tuan Ibrahim tersebut seolah-olah menggambarkan situasi yang berlaku dalam PAS selepas selesai proses pemilihan pada Muktamar di Kuala Selangor yang menyaksikan barisan kepimpinannya kini diterajui kalangan golongan ulama manakala tokoh-tokoh kumpulan progesif atau profesional tersingkir.

Malah satu-satunya Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang dikatakan dari kalangan kumpulan profesional yang dipilih, Mazlan Aliman turut meletakkan jawatan beliau hari ini berkuatkuasa serta-merta.

Mazlan berkata beliau meletak jawatan selepas mengambil kira nasihat dan pandangan ahli parti, namun menafikan ia dipengaruhi kekalahan rakan-rakan sealirannya (kumpulan profesional) dalam pemilihan kepimpinan PAS bagi penggal 2015-2017 baru-baru ini.

Sebaliknya kata Mazlan, apa yang menyedihkan beliau adalah perwakilan tidak membuat pilihan berdasarkan sumbangan serta rekod perkkhidmatan calon.

“Ia satu titik hitam selama 30 tahun saya berkecimpung dalam PAS,” kata Mazlan dalam sidang media mengumumkan perletakan jawatannya.

Beliau bagaimanapun berkata akan kekal sebagai ahli biasa PAS dan merancang untuk mengumpulkan semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di bawah satu bumbung untuk sama-sama memperjuangkan isu yang didepani oleh masyarakat.



Comments
Loading...