Langkah Kajang, pelantikan Azmin punca perpecahan PR


raja_azmin_hadi

Presiden Pas dipersalahkan sedangkan beliau menyelamatkan PR daripada menderhaka kepada Sultan Selangor

(Free Malaysia Today) – Langkah Kajang dan pelantikan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali didakwa punca sebenar perpecahan dalam Pakatan Rakyat.

Penulis blog, Raja Petra Kamarudin mendakwa, Langkah Kajang dimulakan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) tanpa berunding dengan parti sekutu lain.

“Namun begitu, Hadi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula yang dipersalahkan. Sedangkan Hadi bukan dari PKR,” tulisnya di blognya, malaysia-today.

Raja Petra berkata, Hadi sebenarnya menyelamatkan Pakatan Rakyat daripada dituduh menderhaka kepada Sultan Selangor.

Katanya, Sultan Selangor mahukan Pakatan Rakyat memberi dua nama untuk calon Menteri Besar menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim tetapi PKR dan DAP hanya menghantar satu nama – Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Hadi datang dari Terengganu di mana Sultan boleh mengarahkan polis mengiringi sesiapa saja keluar dari negerinya. Anwar dan Lim Guan Eng berasal dari Pulau Pinang sebab itu mereka tiada rasa sayang dan hormat terhadap Sultan,” katanya.

Katanya, Hadi melihat perkara itu dari perpekstif berbeza berbanding Anwar dan Lim Guan Eng yang tidak mengambil kira pandangan Sultan Selangor.

Katanya, kemuncak perbalahan apabila Pas mahu memperkenalkan hudud di Kelantan tetapi Hadi yang pula dipersalahkan.

Katanya, DAP dan PKR menyalahkan Hadi tetapi tidak kepada almarhum Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Kerajaan Kelantan.

“Kenapa menyalahkan Hadi atas tindakan kerajaan Kelantan? Mengapa memuji Pas Kelantan dan pemimpinnya tetapi menghentam Hadi?

“Sekarang DAP menggunakan duit mereka untuk membina masjid di Kelantan. Pemimpin DAP bertepuk tangan dan memuji tetapi tidak pula kerajaan Kelantan kerana melaksanakan hudud,” tegasnya.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...