‘Pergi Palestin, berjihad lagi bagus’


Ajezi

(Sinar Harian) – “Pergi Palestin, berjihad lagi bagus,” kata Hakim, Datuk Azman Abdullah ketika menjatuhkan hukuman penjara empat tahun terhadap seorang duda anak satu kerana kesalahan memiliki dadah.

Tertuduh yang bekerja sebagai jurukimpal tersebut turut dikenakan sebatan sebanyak lima kali dan didenda sejumlah RM10,000 atau penjara enam bulan penjara atas kesalahan sama.

Mohd Ajezi Abdul Rahmam, 40, dihukum selepas mengaku salah pada pertuduhan pertama, memiliki dadah jenis methampetamine seberat 7.85 gram (G) dan kanabis seberat 0.12G pada tuduhan kedua.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di tepi Jalan Batu Balai Kuala Krai, Kuala Krai pada jam 9.45 malam, 25 Mei 2013.

Azman dalam keputusannya berkata, tindakan berani tertuduh yang melawan polis dengan melanggar kereta dinaiki pihak berkuasa ketika usaha menahannya adalah tindakan berani.

“Pemuda seperti kamu yang berani mengambil dadah, mempunyai rekod lampau membabitkan dadah dan wang palsu, tetapi masih berani mengulangi kesalahan sama, lebih bagus pergi ke Palestin, berjihad,” katanya.

Azman juga mengenakan hukuman sebat kepada tertuduh supaya dia merasa perit untuk mengulangi kesalahan sama apabila bebas kelak.

“Penagih seperti kamu tidak kesah tidur di tempat sampah sekali pun. Ada juga penagih yang lebih selesa tinggal di penjara berbanding tinggal di rumah sendiri. Jadi, hukuman sebat ini adalah pengajaran supaya kamu berasa lebih perit,” katanya.

Terdahulu, peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kelantan memohon hukuman tertuduh diringankan kerana tempoh berada di penjara sejak ditahan sudah banyak memberi iktibar kepada tertuduh.

Timbalan Pendakwa Raya negeri, Wan Azimah Yaacob bagaimanapun memohon hukuman berat bertujuan menunjukkan rasa benci terhadap dadah dalam usaha membendungnya dengan lebih berkesan.

Azman juga mengarahkan dadah berkenaan diserahkan kepada pihak berkuasa untuk dilupuskan selepas tamat tempoh rayuan, manakala kereta jenis Perodua Kancil yang disewa tertuduh dikembalikan kepada pemiliknya.

 



Comments
Loading...