Ridhuan Tee cabar Ambiga berdebat
Cabaran itu dibuat kerana Ambiga meminta dia disekat daripada bersuara kerana dikatakan terlalu perkauman.
(Free Malaysia Today) – Pendakwah bebas, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah mencabar bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk S Ambiga berdebat kerana menuduhnya bersifat perkauman.
Katanya, Ambiga perlu membuat kajian mendalam siapa yang lebih rasis, dia atau ultra kiasu.
“Jika nak tahu pemikiran saya, marilah berdebat. Jangan buat tuduhan melulu. Saya hanya berkata benar.
“Jika saya perkauman sekalipun, itu lebih baik daripada memperjuangkan hak asasi tanpa had sehingga menghalalkan LGBT dalam negara berindentitikan Islam,” tulisnya di Sinar Harian.
Dia berkata, LGBT lebih bahaya berbanding perjuangannya yang dikatakan perkauman kerana perkara tersebut bercanggah dengan Perlembagaan dan Rukun Negara.
Mengenai kenyataan bercawat ke rumah ibadat, katanya, ini kerana ultra kiasu tidak percaya kepada etika berpakaian ketika berurusan di premis kerajaan.
“Mereka mahu jadikan pejabat kerajaan seperti rumahnya. Mana boleh!,” katanya.