Rakyat Harus Fokus; Ia Bukan Lagi Rahsia
Sedangkan di kawasan terpencil seperti ini dan dalam kelompok ini, rakyat mampu membincangkan isu 1MDB secara terperinci, apa relevannya apabila ada yang mengatakan isu ini satu konspirasi?
Khairul Naim Rafidi
Beberapa hari lepas, saya sempat berbual dengan beberapa orang nelayan di sebuah perkampungan nelayan cina di Pulau Ketam, Pelabuhan Klang.
Asasnya, Pulau Ketam merupakan sebuah pulau kecil yang diasaskan pada tahun 1880. Ia berdekatan dengan Pelabuhan Klang yang jaraknya lebih kurang 16.6 KM. Terdapat satu cara sahaja untuk ke sana iaitu dengan menaiki feri (40 minit) atau bot laju (20 minit). Pulau ini dihuni oleh golongan nelayan dan 99.9 % penduduknya berbangsa Cina.
Salah satu perkara yang menarik di pulau ini adalah, kenderaan bermotor langsung tidak dibenarkan. Justeru, hanya basikal sahaja yang menjadi kenderaan bagi penduduk untuk ke sesuatu tempat.
Sejujurnya, apabila ke sana saya merasakan bahawa saya sedang hidup sekitar tahun 70an (menurut pembacaan dan pengalaman menonton televisyen, saya masih muda). Pulau ini agak jauh daripada kemodenan, berbanding kehidupan di tanah besar terdekat, iaitu Pelabuhan Klang.
Berbalik kepada cerita tadi, dalam perbualan tersebut, beberapa orang warga emas dalam lingkungan 60 – 70 tahun masing-masing mengeluarkan pandangan dan hujahan tentang 1MDB dan isu wang berjumpa RM2.67 Billion baru-baru ini.
Mereka dengan penuh semangat mengeluarkan pandangan tentang ketirisan dan barah dalam pemerintahan yang berlaku pada waktu ini. Dengan sinis, salah seorang pak cik nelayan di situ berkata bahawa penyingkiran Tan Sri Muhyiddin dan Tan Sri Ghani Patail adalah disebabkan ketakutan tentang 1MDB. Nah! Saya pun terkejut!
Dalam fikiran saya, sedangkan di kawasan terpencil seperti ini dan dalam kelompok ini, rakyat mampu membincangkan isu 1MDB secara terperinci, apa relevannya apabila ada yang mengatakan isu ini satu konspirasi?
Waima dalam kawasan seperti ini, rakyat begitu peka dan aktif dalam membincangkan isu yang hangat seperti ini.
Oleh itu, bagaimana ia boleh menjadi konspirasi jika ia memang sudah lama dibincangkan secara terbuka oleh rakyat tidak kira agama, bangsa, dan kedudukan?
Bagaimana pula hujah yang mengatakan wujud konspirasi menjatuhkan kerajaan dan perdana menteri dengan menggunakan isu ini? Begitu ramai yang disiasat kononnya hendak menggugat sistem demokrasi berparlimen (Seksyen 124B Kanun Keseksaan). Saya jadi musykil!
Hal ini bukan lagi rahsia, di mana-mana pun kita boleh mendapatkan akses maklumat tentang 1MDB. Gunakanlah akal, semua orang pun tahu!
APA RAKYAT PERLU LAKUKAN?
Demi menyelamatkan negara ini, tidak ada jalan lain melainkan hulubalang utama negara ini harus meletakkan jawatan, melainkan jika beliau dapat menjawab segala persoalan dan menganggah segala tuduhan secara terbuka dan berintegriti.
Dalam situasi sekarang, rakyat memerlukan jawapan yang rasional. Bukan jawapan yang bedolak-dalih, atau lawak antarabangsa.
Dalam menuju ke arah tindakan tersebut, pada akhirnya kita memerlukan satu gelombang kuasa rakyat yang benar-benar ampuh.
Saya percaya matlamat ini boleh dicapai dengan jalan demokrasi, melalui desakan dan ekspresi tidak kira melalui metod berhimpun, penulisan, media sosial, dll. Rakyat jangan hilang fokus, terus bergerak.
Setiap kelompok masyarakat harus memainkan peranan masing-masing. Misalnya, gerakan mahasiswa harus mengembalikan budaya bakti siswa dalam masa terdekat, dan sebarkan kebenaran terhadap masyarakat di kampung-kampung tentang isu yang sedang berlaku.
Dalam masa yang sama, aktivis-aktivis rakyat harus lebih aktif dalam memberi kefahaman kepada rakyat menerusi semua saluran yang ada.
Dalam keadaan runcing seperti ini, segala tindakan harus kita hargai demi kemaslahatan negara Malaysia. Sudah sampai masa kita buang sikap ego “aku pejuang, kau keyboard warrior”, dan seumpamanya.
TOLAK PERBEZAAN, CARI TITIK PERTEMUAN
Selaku anak muda dan mahasiswa yang sudah bosan dan jemu tentang keberadaan parti politik yang mementingkan agenda serta kepentingan sendiri, saya menyeru supaya negarawan, ahli korporat, mahasiswa, anak muda, pemimpin politik, golongan profesional, buruh, pemimpin masyarakat, dan rakyat supaya menolak segala perbezaan dan bersatu demi masa depan negara ini.
Segala perbezaan harus diketepikan demi mencari titik persamaan. Fokus kita cuma satu, iaitu untuk memastikan keadilan dapat dicapai, seterusnya hulubalang utama negara ini harus bertindak seperti yang sepatutnya.
Misi ini hanya akan dapat dicapai sekiranya kita dapat membuang sikap ego yang menjadi dinding penghalang dalam usaha menyelamatkan kembali masa depan negara ini. Seluruh rakyat harus bersatu.
KESIMPULAN
Akhir sekali, rakyat harus sedar bahawa negara ini adalah milik kita. Tiada sesiapa yang lebih terbeban untuk mengalas tanggungjawab untuk menentukan masa depan negara ini melainkan kita.
Rakyat harus bersatu, ketepikan perbezaan dan kita jalan bersama. Seperti pepatah Latin yang menyebut, “corruptio optimi pessima” (rasuah golongan tertinggi adalah sesuatu yang paling teruk), maka pembodohan ini harus dilawan!
KHAIRUL NAIM RAFIDI
MAHASISWA UiTM DAN PEGASAS SEKOLAH UNDANG-UNDANG RAKYAT (SUUR)
Sekolah Undang-Undang Rakyat (SUUR) merupakan satu kolektif bebas yang bertindak bagi memberi kesedaran serta pendidikan undang-undang secara percuma kepada masyarakat akar umbi. SUUR ditubuhkan bagi memberi pendedahan kepada masyarakat sivil tentang Perlembagaan serta undang-undang yang berkait rapat dengan masyarakat sekeliling.