DAP takut PAS dominasi Pakatan… dedah Tuan Ibrahim


Tuan-Ibrahim-Tuan-Man

(Agenda Dailly) – Pelaksanaan hukum hudud di Kelantan hanyalah alasan untuk DAP melancarkan serangan terhadap Pas kerana isu itu bukan perkara utama yang menjadi kebimbangan parti berkenaan selama ini.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa, DAP sebenarnya khuatir terhadap kekuatan PAS yang mampu menjadi parti utama yang mendominasi pakatan pembangkang.

Menurut beliau, calon Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini berada di dalam penjara dan jika pakatan pembangkang berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN), calon terbaik bagi mengisi jawatan nombor satu itu ialah wakil daripada PAS.

“Kalau kita menang dalam pilihan raya ketika Anwar masih dalam penjara, siapa akan jadi Perdana Menteri? Tidak ada orang lain ke­cuali Pas. DAP tak boleh jadi Perdana Menteri sebab ada halangan Perlembagaan.

“Itu yang dia takut sangat, bukan pasal hudud. Masa itu hudud tak berbunyi dah,” katanya.

Tuan Ibrahim dalam pada itu berkata, dakwaan beliau mempunyai asas kerana DAP dengan PAS tidak pernah bertembung dalam mana-mana isu, namun DAP kini menganggap PAS sebagai seteru utama.

“Tengok sejarah, kita tidak pernah bertembung dalam pilihan raya. Isu Menteri Besar Selangor dan Langkah Kajang pula antara PAS dengan PKR. Jadi apa nak marah sangat dengan PAS?” katanya.

Beliau turut menyangkal dakwaan bahawa PAS tidak mampu berjuang bersendirian tanpa bergabung dengan mana-mana parti politik yang lain.

“Jangan kata begitu sebab kalau ada gabungan parti politik besar menang pilihan raya, mungkin masih tidak dapat membentuk kerajaan kecuali disertai parti kecil yang bersendirian.

“Masa itu, parti kecil ini mahal harganya,” ujar beliau.

Dalam perkembangan lain, Tuan Ibrahim mempersoalkan kewujudan Gerakan Harapan Baru (GHB) yang disifatkan tidak ada nilai tambah kerana strategi kumpulan serpihan itu yang berterusan memecahbelahkan PAS dan sekadar berkempen di Kelantan hanya menguntungkan pihak lawan.



Comments
Loading...