Anwar tetap calon perdana menteri kami, kata DAP
(The Malaysian Insider) – Meskipun Pakatan Rakyat (PR) sudah berkubur, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang menegaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap menjadi calon perdana menteri pembangkang sekiranya mereka berjaya menawan Putrajaya.
Beliau berkata, keputusan mempertahankan Anwar menjadi calon perdana menteri berdasarkan keadaan politik di negara ini, di mana bekas ketua pembangkang itu dilihat dapat menyelamatkan Malaysia daripada krisis yang berlaku kini.
“Anwar menjadi mangsa penganayiaan, beliau dalam tahanan (penjara) dan jelas menjadi mangsa tahanan poltik. Betapa penting Anwar ada dengan kita.
“Amat mustahak untuk beliau menjadi perdana menteri supaya boleh melonjakkan lagi keadaan, Malaysia dalam keadaan tidak pernah begitu teruk sama ada dari segi ekonomi, politik dan mata wang ringgit yang jatuh merundum terburuk dalam sejarah,” katanya dalam ucapan di majlis Hari Raya dan sambutan kelahiran Anwar yang ke-68 tahun di Penjara Sungai Buloh, Selangor hari ini.
Lim memberitahu The Malaysian Insider, beliau yakin ketetapan untuk Anwar menjadi calon perdana menteri juga akan dipersetujui parti politik baharu yang bakal ditubuhkan, Gerakan Harapan Baru (GHB).
“Sungguhpun tidak ada lagi Pakatan Rakyat, tapi satu gerakan baharu yang ditubuhkan dengan penyertaan parti politik baharu dan kita yakin tidak akan ada masalah untuk itu.
“Kita belum tubuh (pakatan pembangkang), kita tubuh dulu dan baru lihat bagaimana,” katanya.