Singa UMNO : Adakah YB Khairy Jamaluddin Cukup Berani?


www.freemalaysiatoday.com_wp-content_uploads_2013_07_KHAIRY-JAMALUDDIN-300x212

Adakah Tuan KJ yang dilihat sebagai individu progresif mampu memecah tradisi dengan menjadi “Singa Umno” yang baru?

Khairul Naim Rafidi

Pernah seorang penulis Indonesia, Pramoedya Ananta Toer melontarkan kata-kata pedas terhadap anak muda apabila beliau menyebut “kalian pemuda, kalau kalian tidak punya keberanian, sama saja dengan ternak karena fungsi hidupnya hanya beternak diri.”

Beberapa hari lepas, selepas sekian lama mendiamkan diri akhirnya Menteri Belia dan Sukan, serta Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyatakan pendirian jelas bahawa beliau tidak gentar disingkir kabinet kerana mengkritik tindakan terhadap SPRM.

Selepas bersidang dengan beberapa orang rakan semalam, ada yang menganggap bahawa kenyataan tersebut adalah lucu, karut serta populis kerana melihat pendirian serta sikap berdiam diri Tuan KJ sebelum ini.

Tetapi, selaku individu yang berpegang kepada konsep demokrasi, berasaskan keperlembagaan, saya raikan kenyataan tersebut. Kita raikan!

 

Umno Progresif?

Anak muda dan mahasiswa yang peka terhadap politik semasa pasti masak benar dengan istilah “umno progresif”.

Ia disebut-sebut ketika zaman Dato’ Saifuddin Abdullah masih menjawat timbalan menteri, dan pada masa yang sama KJ masih belum masuk ke dalam kabinet, tetapi lantang dalam menyuarakan pandangan terhadap isu-isu negara.

Sejujurnya, kini saya melihat istilah “umno progresif” ini akan terus menjadi retorik dan modal politik semata jika ia tidak dimanifestasikan dengan aksi dan tindakan, dan tidak datang dengan kepura-puraan.

Mungkin seperti anak muda yang lain, saya pernah juga berharap nafas baru wujud dalam parti politik yang tua seperti Umno, apabila melihat kehadiran Tuan KJ yang nampak seperti lantang.

Tetapi, lama-kelamaan, mula sedar bahawa istilah “Umno progresif” hanya laungan retorik, seperti biasa.

 

SINGA UMNO

Pernah satu hari, saya berbual dengan teman-teman yang merupakan anggota bagi sayap kanan Umno, iaitu Pemuda Umno.

Apabila bercakap soal gelaran “Singa Umno”, masing-masing terpinga-pinga, dan tidak pernah tahu soal gelaran itu.

“Singa Umno” adalah gelaran yang diberikan kepada Tan Sri Syed Jaafar Albar, yang begitu lantang mengkritik pemimpin dan dasar-dasar negara waktu itu meskipun berada dalam Umno.

Tan Sri Syed Jaafar Albar, ketika hidupnya pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Agung Umno, dan apa yang menarik, beliau pernah dipilih menjadi Ketua Pemuda Umno, walaupun sudah berusia 62 tahun, sebelum beliau meninggal dunia.

Beliau dilihat sebagai individu yang sering memberikan pandangan alternatif, terhadap tindakan Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak.

Selain isu-isu nasib dan kedudukan bangsa Melayu (sehingga digelar ultra oleh Lee Kuan Yew), beliau tanpa segan silu akan bersuara mengkritik tindakan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh pihak kerajaan.

Misalnya, beliau telah keluar dewan ketika usul dibentangkan oleh Tunku untuk mengeluarkan Singapura daripada Persekutuan. Tindakan tersebut adalah tanda protes beliau terhadap usul tersebut.

Paling mengejutkan, disebabkan tidak bersetuju dengan usul tersebut, beliau dengan serta-merta meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Agung Umno, dibawah kepimpinan Tunku Abdul Rahman.

Catatan ringkas ini tidak mampu untuk mencoretkan kisah-kisah kelantangan “Singa Umno” ini. Tetapi, harapnya barisan pemuda serta ahli-ahli Umno muda lebih peka dan banyakkan pembacaan tentang sejarah serta rekod parti politik ini.

 

Tanggungjawab Kolektif (Collective Responsibility)

Dalam sistem yang kita anuti sekarang, Perkara 43 (3) Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa jemaah menteri mempunyai tanggungjawab kolektif terhadap dasar-dasar serta setiap tindak-tanduk parlimen.

Dalam buku “Document of Destiny – The Constitution of the Federation of Malaysia”, Prof. Dr. Shad Saleem Faruqi menyebut ;

“If a minister does not agree with a cabinet decision he has three alternatives – keep quiet about it ; resign ; or have his dissent recorded in Cabinet minutes. This duty applies even if the Minister did not participate in or concur with the decision in question.”

(Jika seorang Menteri tidak bersetuju dengan keputusan kabinet, terdapat tiga alternatif iaitu – berdiam diri ; meletakkan jawatan ; atau percanggahan tersebut direkodkan dalam minit kabinet. Tugas ini terpakai walaupun Menteri tidak mengambil bahagian atau setuju dengan keputusan yang dibincangkan)

Contoh klasik dalam kisah “Singa Umno” di atas merupakan salah satu daripada kisah-kisah yang lain. Tan Sri Syed Jaafar Albar telah meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Agung Umno, kerana tidak bersetuju dengan tindakan Tunku membenarkan Singapura keluar dari Malaysia.

Selain itu, contoh lain yang paling jelas ialah apabila bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Zaid Ibrahim meletakkan jawatan kerana tidak bersetuju dengan undang-undang ISA yang masih digunakan, pada tahun 2008.

Persoalannya di sini, adakah Tuan KJ yang dilihat sebagai individu progresif mampu memecah tradisi dengan menjadi “Singa Umno” yang baru?

Adakah Tuan KJ mampu sanggup meletakkan jawatan sebagai tanda protes terhadap isu-isu ketirisan yang banyak berlaku baru-baru ini? Adakah benar Tuan KJ benar-benar rela disingkir daripada kabinet atas tindakannya menegur tindakan terhadap SPRM baru-baru ini?

Jika tidak, pendirian tersebut akan terus satu menjadi retorik, dan dongeng menarik sampai bila-bila.

Maka, anak muda akhirnya akan terus menanti pemimpin yang benar-benar “cakap serupa bikin.

“Lebih baik diasingkan daripada menyerah pada kemunafikan.” Soe Hok Gie

 

KHAIRUL NAIM RAFIDI

MAHASISWA UiTM DAN PENGASAS SEKOLAH UNDANG-UNDANG RAKYAT (SUUR)

Sekolah Undang-Undang Rakyat (SUUR) merupakan satu kolektif bebas yang bertindak bagi memberi kesedaran serta pendidikan undang-undang secara percuma kepada masyarakat akar umbi.  SUUR ditubuhkan bagi memberi pendedahan kepada masyarakat sivil tentang Perlembagaan serta undang-undang yang berkait rapat dengan masyarakat sekeliling



Comments
Loading...