Guling Kerajaan: Dedah Siapa Dalangnya, Zahid


zahid

(Sinar Harian) – “Ia perkara baharu. Walaupun saya ahli majlis tertinggi Umno, tidak semua perkara saya tahu, terutama gerakan yang guna pintu belakang untuk jatuhkan kerajaan”

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu mendedahkan nama individu yang cuba menggulingkan kerajaan kepada umum.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Irmohizam Ibrahim, berkata, pengundi BN pastinya mahu mengetahui siapa individu yang cuba untuk mengkhianati demokrasi di negara ini.

“Kerajaan yang ada sekarang ini dipilih oleh rakyat tetapi usaha gulingkan kerajaan menggunakan pintu belakang adalah sesuatu yang tidak boleh dimaafkan.

“Mereka yang terlibat dengan komplot ini perlu dikenakan tindakan undang-undang dan pendekatan politik,” katanya.

Menurutnya, gerakan menggulingkan kerajaan juga mencemarkan nama baik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku ketua yang mentadbir negara.

“Saya minta nama pemimpin pembangkang yang berkomplot menggulingkan kerajaan didedahkan.

“Dari situ kita tahu perkara ini benar-benar berlaku di negara kita dan bukan direka semata-mata,” katanya.

Beliau menjelaskan, pendedahan yang dilakukan oleh Ahmad Zahid adalah perkara baharu dan tidak diketahuinya sebelum ini.

“Ia perkara baharu. Walaupun saya ahli majlis tertinggi Umno, tidak semua perkara saya tahu, terutama gerakan yang guna pintu belakang untuk jatuhkan kerajaan,” katanya.

Kelmarin, Ahmad Zahid mendedahkan komplot menggulingkan kerajaan menggunakan cara mendapatkan akuan bersumpah daripada ahli palimen BN sebagai menyokong gerakan mereka.

Beliau mendakwa, usaha itu didalangi seorang tokoh Umno dan pembangkang.



Comments
Loading...