Tolak Najib berjaya jika Hadi sokong


Lim Kit Siang

(Sinar Harian) – Kempen Selamatkan Malaysia menerusi usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam sidang Dewan Rakyat pada Oktober ini hanya boleh dicapai jika Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi jaminan kesemua Ahli Parlimen Pas menyokong sebulat suara usaha tersebut.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menegaskan usul itu boleh selamat jika sekurang-kurangnya 78 Ahli Parlimen pembangkang bersatu untuk menyokongnya dan selebihnya daripada Ahli Parlimen Umno dan BN.

“Walaupun bekas PR (DAP, PKR dan Pas) mempunyai sejumlah 88 Ahli Parlimen, adalah kurang bijak untuk sesiapa sahaja menyangka bahawa kesemua 21 Ahli Parlimen Pas akan menyokong usul itu kecuali ia dengan jelas disebut oleh Abdul Hadi sendiri.

“Kita juga tidak boleh menjangka sekurang-kurangnya 35 Ahli Parlimen Umno dan BN bersedia menyertai (bergabung) pembangkang untuk menyokong usul itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau mempunyai bukti mengenai komplot menggulingkan kerajaan iaitu dokumen akuan bersumpah yang menyasarkan 37 Ahli Parlimen BN.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri menjelaskan, dokumen itu juga disiapkan untuk ditandatangani oleh 87 Ahli Parlimen pembangkang dan satu daripada Bebas.

Dalam pada itu, Kit Siang juga berkata, cadangan menarik daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya pembangkang menyokong usul undi tidak percaya, sementara mengekalkan BN terus berkuasa telah membuka pekung mereka sendiri tentang hala tuju Malaysia pada masa akan datang.

“Adakah terdapat undi tidak percaya terhadap Najib sebagai Perdana Menteri dan apa-apa usul yang mungkin berjaya apabila Parlimen bersidang semula pada 19 Oktober?

“Cadangan menarik Mahathir akan menjadi titik permulaan yang baik untuk menerokai apa-apa kemungkinan,” katanya lagi.

 



Comments
Loading...