Kejatuhan Berterusan Nilai Ringgit – Sejauhmanakah Orang Sabah Bertambah Miskin?
Nilai Ringgit Malaysia (RM) telah merosot sebanyak 30% (kepada US Dollar (USD). Awal hari ini (24 Ogos 2014) nilai Ringgit jatuh menjunam lagi ke aras RM4.2465 untuk 1 US Dollar. Buat masa ini, pasaran pengurupan wang menggunakan Price on Application (POA) kerana jual-beli matawang Ringgit sangat merugikan. Artikel ini akan melihat kesan kejatuhan Tukaran Asing Ringgit kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sabah. Atau dengan kata lain, sejauhmanakah Orang Sabah bertambah miskin berikutan kejatuhan Nilai Ringgit? Secara asasnya, KDNK adalah jumlah Penggunaan + Pelaburan + Perbelanjaan Kerajaan + Export tolak Import. Kita akan melihat bagaimana Nilai Ringgit yang semakin lemah menyebabkan nilai KDNK per kapita (KDNK dibahagi dengan jumlah penduduk Sabah) dan Export jatuh, manakala Pengunaan dan Import bertambah. Kesan kejatuhan Nilai Ringgit ke atas komponen Pelaburan and Perbelanjaan Kerajaan akan dianalisa dalam artikel yang berasingan.
Nilai KDNK Perkapita Sabah Jatuh
Kemerosotan Nilai Ringgit yang berlarutan mengurangkan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Perkapita Sabah. Pada tahun 2005, KDNK Sabah adalah RM32, 427 juta (Malaysia=RM543, 578 juta), lapan tahun kemudian ianya meningkat kepada 64,096 juta (Malaysia=RM941, 237 juta). Maka, KDNK perkapita Sabah, pada tahun 2005 berjumlah RM11, 134 (Malaysia=RM20, 870). Pada ketika itu Sabah masih mengekalkan kedudukannya sebagai negeri ketiga termiskin sejak tahun 2000. Lapan tahun kemudian, KDNK per kapita Malaysia mencecah RM32, 084 9 (atau Pendapatan Negara Kasar Per Kapita RM30, 856) semakin menghampiri Benchmark Bank Dunia RM40, 841 (atau USD 12,467 berdasarkan RM3.27 per USD) untuk Negara Berpendapatan Tinggi. Pada tahun 2012, dengan KDNK perkapita RM19, 010, Sabah menjadi negeri keempat miskin di Malaysia. Dengan menggunakan KDNK per kapita sabah tahun 2014 kita boleh katakan bahawa kemerosotan Nilai Ringgit yang sedang berlaku ini akan menyebabkan nilai (inflasi belum ditolak) KDNK per kapita Sabah berkurang ke RM13, 307. Orang Sabah semakin miskin manakala Visi 2020 Malaysia untuk menyertai kelab negara –negara kaya OECD hancur berkecai.
Export Jatuh dan Defisit Imbangan Pembayaran
Sabah mencatatkan Surplus dalam Imbangan Pembayaran sejak 1998 sehingga 2012 atau dengan kata lain, Export melebihi Import selama 14 tahun berturut-turut. Export Sabah pada tahun 2012 bernilai Ringgit 47,684,774 juta atau 70% daripada KDNK Sabah (Lebihan Dagangan =RM10,257,661 juta). Ini menunjukkan Export adalah penjana utama pertumbuhan ekonomi Sabah. Export Sabah mengikut urutan kepentingan adalah seperti berikut; 38.8% Petroleum Mentah, 35% Minyak Kelapa Sawit Mentah dan Diproses; 15.4% Barangan Lain (Hasil Pertanian/perikanan); 3.8% Minyak Isirung (Kernel) Kelapa Sawit Mentah/Diproses; 3.2% Metanol (gas asli); 2.1% papan lapis dan 1.8% Besi Brikuet Panas. Pengurangan Nilai Ringgit Export Sabah enam bulan sehingga setahun selepas kejatuhan Nilai Ringgit boleh dianggar dengan menggunakan Export 2012. Jumlah kemerosotan Nilai Matawang Asing hasil pendapatan dari Export sebelum 2015 jatuh sebanyak 30%. Pengurangan Nilai Export 2012 dalam Ringgit adalah RM14.305 billion atau Imbangan Pembayaran Defisit RM 4 billion. Nilai hasil cukai export yang dikutip oleh Kerajaan ke atas export komoditi mentah juga akan berkurangan.
Penawaran bahan mentah kurang anjal dalam jangka pendek. Firma-firma pengeksport tanpa hedging Tukaran Matawang Asing akan kerugian kerana pengeluaran terbazir. Sungguhpun harga domestik bahan mentah menjadi murah (30%) berbanding harga export (harga pasaran dunia), namun pengeluaran domestik tidak berkeupayaan teknologi memprosesnya kepada barang hiliran berNilai Tambah yang tinggi. Volume Export Komoditi utama Sabah pasca kejatuhan Nilai Ringgit tidak berubah, bertambah atau berkurangan bergantung sama ada harga rendah komoditi dunia akan berlanjutan. Kejatuhan Nilai Ringgit berterusan yang kebetulan berlaku ketika harga pasaran komoditi dunia lembab akan menyebabkan permintaan dari negara rakan Dagang bertambah. Permintaan dari Negara China yang mengimport 18.2% daripada export bahan mentah Sabah akan bertambah selepas devaluation Nilai Yuan. Firma-firma Sabah yang mengeksport ke China dibayar akan mengalami kerugian dua kali, pertama akibat kejatuhan Nilai Ringgit dan kedua, berikutan devaluasi Yuan. Sebanyak 14.6% bahan mentah Sabah diexport ke Australia, 10% ke India, 5.6% ke Jepun, 4.6% ke Thailand, 3.8% ke Korea , 2.7% ke United States, 2.5 ke Singapore. Firma-firma pengeksport Sabah dan firma-firma pengimport di Negara Rakan Dagang ini akan membincangkan semula terma-terma kontrak jangka panjang mereka. Kesan kejatuhan nilai Ringgit ke atas 12.6% bahan mentah yang dieksport ke Semenanjung Malaysia (akibat Dasar Kabotaj) and 4.4% ke Sarawak (pemprosesan hiliran) tidak begitu ketara.
Orang Miskin Bertambah Miskin
Kesusahan kehidupan ekonomi Orang Sabah yang berpendapatan rendah akan bertambah parah selepas Nilai Ringgit menjunam. Secara statistic mereka ini dibahagikan kepada Orang Miskin (dialek Dusun- “Mosikin”) dan Orang Miskin Tegar(dialek Dusun-“Kunsikang”). Pada tahun 2007, Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) adalah RM960 dan Insiden Kemiskinan (IK) 16.4%. Lima tahun kemudian, PGK adalah RM1090 manakala IK tinggal 8.1% saja. Pada tahun 2007, Pendapatan Garis Kemiskinan Tegar (PGKT) adalah RM540 dengan Insiden Kemiskinan Tegar (IKT) 3.8% berbanding dengan pada tahun 2012, PGKT adalah RM660 dengan IKT berkurang ke 1.6%.
Angka dari Jabatan Statistik di atas memberitahu kita dua perkara menarik. Yang pertama, dalam tempoh 5 tahun, IK dan IKT telah berjaya dikurangkan separuh. Walau bagaimanapun pada tahun 2012, masih ada seramai 187, 674 Warga Malaysia di Sabah masih Miskin (atau seramai 259,746 termasuk Bukan Warga Malaysia). Pada tahun yang sama, seramai 37,071 Warga Negara Malaysia di Sabah masih Miskin Tegar (atau 51,307 orang termasuk Bukan Warga Malaysia). Kedua, pada tahun tersebut, PGK (RM1090) lebih tinggi daripada Upah Minimum RM800 untuk Sabah. Adakah Kementerian Sumber Manusia Persekutuan (Arahan Kerajaan, September 2012) telah “underestimate” kos sara hidup yang tinggi di Sabah?
Nilai Ringgit yang berterusan menjunam dalam masa yang singkat mewujudkan “Orang Miskin Baru”. Berapa ramaikah daripada orang Sabah berpendapatan Menengah bakal menjadi Orang Miskin Baru akibat kejatuhan nilai Ringgit? Pendapatan Bulanan Isi-Rumah Purata (PBIRP) di Sabah telah meningkat dari RM2, 837 pada tahun 2007 kepada RM4, 013 (Malaysia > RM5, 000) pada tahun 2012. PBIRP adalah garis pendapatan menengah di Sabah. Angka Nominal (termasuk inflasi) ini menunjukkan jurang perbezaan pendapatan orang Miskin dan orang menengah telah bertambah jauh.
Jumlah Orang Berpendapatan rendah dan menengah boleh juga dianggar mengikut Laporan Penyertaan buruh. Pada tahun 2012, Sabah mempunyai Tenaga Buruh seramai 1.579 juta orang (Malaysia= 13.119 juta) tetapi hanya 1.494 juta Bekerja (Malaysia=12.723 juta) dengan Kadar Pengangguran 5.4% (Malaysia=3%) atau 85.3 ribu orang Sabah penganggur. Walaupun jumlah orang Bekerja di Sabah 12% daripada jumlah orang bekerja di Malaysia, kenapakah KDNK Sabah masih corot? Hanya 15% daripada orang Sabah yang bekerja berkelulusan Tertiari (universiti/kolej) , 46.2% tamat sekolah menengah, 29.9% tamat sekolah rendah dan 8.7% tidak berpendidikan formal. Tahap pendidikan yang rendah menyebabkan lebih separuh daripada orang Sabah bekerja dalam industri bergaji rendah. Sejumlah 26% bekerja dalam sektor Pertanian, perhutanan dan perikanan; 18.2% dalam sektor Perdagangan borong dan runcit, pembaikan kenderaan bermotor dan motosikal dan 10.6% dalam sektor Pembinaan. Orang yang bergaji tinggi tidak ramai. Hanya 10.6% dalam sektor Pembuatan; 7% dalam penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman; 5.3% dalam pendidikan dan 4.9% dalam pentadbiran awam dan pertahanan.
Kos Sara Hidup Meningkat, Penggunaan yang jatuh
Apabila nilai RM merosot 30% dalam Dollar, jumlah pendapatan dari gaji, wang kebajikan, pencen dan Tabungan lain tidak berubah dalam jangka masa pendek. Yang berkurang adalah Kuasa Membeli setiap Ringgit. Walaupun Barangan dan perkhidmatan di Sabah tidak “disebut” atau dijual-beli dalam Dollar namun kehidupan ekonomi para pengguna akan terjejas. Bukan itu sahaja. Harga Barangan dan Perkhidmatan Perlu akan meningkat. Akibatnya, orang Miskin yang bergaji tetap akan terpaksa membelanjakan lebih banyak Ringgit untuk membeli jumlah barangan dan perkhidmatan yang sama. Kekangan bajet (budget constraint) akan memaksa mereka mengorbankan perubatan atau persekolahan anak-anak untuk membeli Makanan.
Sebagai pengguna, orang Sabah yang berpendapatan rendah sangat “vulnerable” kepada kejatuhan nilai Ringgit. Terdapat dua sebab mengapa kos sara hidup orang kita yang rata-rata tinggal di bandar melonjak tinggi. Penyebab utamanya tidak lain dan tidak bukan- Inflasi Merayap. Lapan puluh peratus Perbelanjaan Isirumah orang kita adalah untuk membayar empat keperluan asas (1) Makanan dan Minuman bukan alkohol (38%); (2) Perumahan, air, eletrik, gas dan bahan –api (29%); (3) Pengangkutan (8%); (4) Komunikasi (5%). Hanya 2% untuk kesihatan and 1% untuk persekolahan anak-anak. Kadar inflasi (Indek Harga Pengguna) Keperluan asas kategori (1) telah mencecak 7.5% diikuti oleh kategori (3) pada aras 4. % dan kategori (2) sebanyak 3%.
Penyebab kedua adalah cukai GST. Keperluan asas (1) hingga (4) yang hampir kesemuanya secara undang-undang dikecualikan GST. Malangnya, rata-rata supermarket mengenakan GST ke atas setiap pembelian. Cukai GST tidak adil kerana ianya membebankan orang Miskin lebih dari Orang Kaya. Para pengguna tidak atau belum tahu proses “rebate”. Lagipun jumlah cukai dikenakan untuk setiap resit itu terlalu kecil berbanding dengan kos Meminta diBayar Balik. Kalau dikumpul sekalipun, mungkin tidak berbaloi lebih-lebih lagi kalau kita terpaksa berhadapan dengan kerenah birokrasi agensi pencukaian. Pengguna yang diBayar Balik sebenarnya masih dicukai secara tersirat. Ini kerana GST adalah Cukai Nilai Tambah Ad Volerem, 6% dikenakan atas jumlah pembelian input di setiap peringkat pengeluaran dan jual-beli di sepanjang Rangkaian Penawaran Barangan sehinggalah Barang Siap tersebut dibeli oleh pengguna.
Import Barang Perlu Menjadi Mahal
Permintaan orang Miskin ke atas barangan keperluan Asas adalah kurang anjal ke atas harga. Contohnya, kenaikan harga beras adalah lebih tinggi berbanding pengurangan permintaan (reaksi pengguna mengurangkan pembelian). Kecuali kalau mereka sangup membeli beras rendah kualiti yang harga, khasiat (kalori sama?) rasa nya kurang enak, sekalipun GST 6% masih perlu dibayar. Pengguna miskin membelanjakan sekurang-kurang 9% pendapatan untuk membeli beras. Mereka semakin miskin kerana kemerosotan nilai Ringgit mengakibatkan dua masalah.
Yang pertama, harga barangan keperluan seperti beras yang “terpaksa” diimport menjadi mahal. Yang kedua, apabila input pengeluaran padi tempatan seperti baja, jentera atau racun rumpai yang diimport menjadi mahal. Kenaikan harga barangan import ini sepatutnya dikongsi bersama oleh pengimport (atau pengeluar) dan pengguna.
Di bawah subsidi pertanian, kos pengimportan input pengeluaran dibebankan kepada pembayar cukai. Pengeluaran beras di Sabah boleh menampung 60% keperluan tempatan tetapi separuh daripada input pengeluarannya adalah diimport. Keperluan beras yang selebihnya di import melalui BERNAS. Syarikat swasta yang mengimport sendiri tidak akan dapat bersaing dengan syarikat (seperti SAZARICE) yang memborong dari BERNAS yang didanai oleh wang pembayar cukai.
Pada tahun 2012, Sabah mengimport 243.1 (000’ tan metrik) beras bernilai sebanyak RM425,792 (000’) dari Vietnam, Thailand, Pakistan, Semenanjung Malaysia (6.5%) ,Myanmar, Cambodia dan India. Sekiranya kuantiti Import beras pasca kejatuhan Nilai Ringgit sama dengan kuantiti Import tahun 2012, maka Nilai import beras akan meningkat kepada RM553, 529 (000’). Walaupun kos freight (pengangkutan) tidak berubah, harga beras yang diimport akan meningkat selagi nilai Ringgit jatuh berterusan.
Selain daripada beras, Sabah juga mengimport ubat-ubatan dan peralatan rawatan penyakit –penyakit kronik. Kejatuhan Nilai Ringgit menyebabkan perbelanjaan ke atas kesihatan yang sebelum ini hanya 2% akan melonjak ke 32%. Pengguna berpendapatan menengah yang sebelum ini mampu membiayai sendiri separuh daripada kos perubatan akan bersaing dengan pesakit –pesakit Miskin untuk mendapatkan perubatan dari hospital awam yang dibiayai oleh pembayar cukai.
Import Sabah keseluruhannya akan menjadi mahal berikutan kejatuhan Nilai Ringgit. Anggaran kasar boleh dibuat berdasarkan jumlah import Sabah sebanyak RM37.4 billion tahun 2012. Berikut adalah barangan Import yang dijangka akan bertambah mahal; 31.4% nilai import Jentera (untuk pertanian dan pembinaan) & Kelengkapan Pengangkutan, 17.9% Bahan Api, Galian, Pelincir dan lain-lain, 17.3% Barang-barang Keluaran Kilang, 10% Makanan,9.7% Bahan Kimia (Baja dan input pertanian lain) and selebihnya 13.7% yang Lain-lain.
Kejatuhan Nilai Ringgit yang mendadak serta berterusan akan menyebabkan nilai dan jumlah Keluaran Negara Dalam Negara Kasar mengecut (shrinking) berikutan kemerosotan nilai Export. Orang Miskin akan bertambah miskin secara hakiki dan dari segi KDNK perkapita. Kehidupan ekonomi para pengguna di Sabah semakin mendesak akibat peningkatan kos penggunaan dan barangan import.
James Alin, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakuan Universiti Malaysia Sabah , Felo Kanan, Center for Strategic Policy and Governance, Palawan State University, Philippines.