Kuasa rakyat pilih kerajaan ketika pilihan raya – Najib


najib-umno-lawsuit

(Bernama) – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata ‘people’s power’ atau kuasa rakyat untuk memilih kerajaan hanya boleh digunakan sewaktu pilihan raya.

Beliau berkata, ketika itu rakyat berhak menghukum dan mengadili pemimpin yang mereka sukai atau benci.

“Waktu pilihan rayalah waktu kita serah kepada rakyat untuk memilih kerajaan. Hukumilah kita, adililah kita sebagai kerajaan pada hari ini sama ada baik atau tidak, rakyat boleh tentukan.

“Di antara pilihan raya, kita tak boleh melakukan sesuatu yang bertentangan dengan perlembagaan dan undang-undang negara kita,” katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap merasmikan Festival Rakyat@Pasir Salak di Litar Dato Sagor, Kampung Gajah, di sini malam tadi.

Najib berkata, kerajaan pada hari ini bukanlah tidak mahu diadili rakyat kerana kerajaan menyedari rakyat yang menentukan segala-galanya.

Bagaimanapun, beliau berkata perlembagaan menyatakan bahawa kuasa rakyat untuk berbuat demikian hanya sekali dalam lima tahun.

“Rakyat dapat kuasa bukan disebabkan memakai baju yang satu warna, apatah lagi dengan sikap angkuh, biadap dan keterlaluan menghina pemimpin-pemimpin parti politik dan kerajaan itu dianggap sebagai cerminan isi hati rakyat.

“Kita bukan jenis manusia seperti itu, kita membangunkan negara dengan kesantunan akhlak dan nilai walaupun kita berbeza pendapat, tetapi kita tidak mengaibkan mana-mana orang.

“Saya dan rakan-rakan sanggup diadili, waktu pilihan raya, sekiranya tidak suka saya boleh bertanding di Pekan (Pahang) umpamanya, saya terima siapa nak bertanding di Pekan,” katanya.

 



Comments
Loading...