Tiada asas tuduh ahli PAC jual maklumat ke WSJ


Nur Jazlan

(Utusan Online) – Tuduhan Editor Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin mengenai penglibatan ahli-ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang menjual maklumat mengenai 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) kepada Wall Street Journal (WSJ) disifatkan sebagai tidak berasas.

Bekas Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, Raja Petra tidak mempunyai bukti mengenai perkara itu.

Beliau yang kini Timbalan Menteri Dalam Negeri berkata, UMNO sendiri tidak mempunyai asas untuk menyiasat penglibatan ahli-ahli PAC dalam kalangan parti itu yang menjual maklumat kepada WSJ.

“Jangan dilayan tuduhan Raja Petra ini. UMNO pun tidak ada asas untuk menyiasat tohmahan blog atau portal itu tanpa bukti,” katanya kepada Utusan Malaysia menerusi aplikasi WhatsApp di sini hari ini.

Raja Petra menerusi portal beritanya, Malaysia Today mengeluarkan pendapat yang mendakwa WSJ menerbitkan berita baharu berdasarkan maklumat daripada PAC.

Beliau mendakwa, seseorang daripada PAC menjual maklumat tersebut kepada WSJ dan memperoleh wang daripadanya.

Kata Raja Petra, walaupun suspek utama adalah Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, akaun-akaun bank ahli PAC termasuk yang kini menyertai Kabinet perlu disiasat.

“Sehubungan itu, Pua tidak boleh dituduh melakukan perkara itu (membocorkan maklumat) secara berseorangan.

Mungkin terdapat lebih daripada seorang yang terlibat dalam perkara ini dan mungkin daripada UMNO,” ujar Raja Petra dalam portalnya.

 



Comments
Loading...