Selepas Bersih 4, DBKL Hantar Bil Kos Kepada Baju Merah


SAMPAH-600x360

(The Rakyat Post) – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menghantar bil tuntutan penugasan dan kerosakan kepada penganjur Himpunan Baju Merah dalam tempoh seminggu ini selepas penilaian dibuat oleh Alam Flora.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mohd Amin Nordin berkata pihaknya telah selesai menjalankan tugas mengawal keadaan, membantu penugasan polis trafik dan keselamatan serta pemantauan infrastruktur dan kebersihan.

Menurutnya, tugasan pembersihan mula dijalankan petang tadi dan akan disambung esok.

“Tiada kerosakan terhadap sebarang infrastruktur atau perabot di jalan.

“Pihak Alam Flora akan membuat anggaran kos kebersihan dalam tempoh seminggu ini,” katanya.

Beliau menegaskan penganjur himpunan Merah tidak terkecuali dikenakan kos kebersihan selepas pemantauan dibuat di beberapa lokasi sekitar ibu negara yang terlibat dengan himpunan itu.

Katanya, menyifatkan himpunan tersebut diadakan secara terkawal.

Ketika ditanya sama ada kos anggaran akan melebihi daripada bil tuntutan yang dikenakan terhadap Bersih 4 sebelum ini, beliau berkata perlu menunggu pemantauan dan penilaian Alam Flora.

Tinjauan The Rakyat Post sekitar ibu negara mendapati terdapat sampah sarap di jalan raya yang dipercayai dilakukan peserta Himpunan Baju Merah.

Plastik makanan, cawan dan botol bertaburan di sekitar taman dan pembahagi jalan sehingga melihatkan keadaan ibu negara yang kotor.

Sebelum ini, penganjur himpunan Bersih 4 dikenakan bil tuntutan kos penugasan dan kerosakan bernilai RM61,840 susulan perhimpunan itu.

Jumlah tersebut termasuk kos untuk kerja pemantauan dan penurunan sepanduk, kain rentang dan pemadaman contengan berkaitan Bersih 4, pemasangan bendungan dan pagar serta kerosakan landskap dan perabot jalan raya.



Comments
Loading...