KJ: Lebih baik keluar BN


khairy

(Sinar Harian) – Pemuda MCA Bahagian Pasir Gudang disaran keluar sahaja daripada BN sekiranya mereka bertegas untuk memutuskan hubungan dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, tindakan Ketua Pemuda MCA Pasir Gudang, Chia Chow Hui merosakkan kerjasama yang terjalin.

“Saya mahu Pemuda MCA Kebangsaan membuat siasatan mendalam ke atas ketetapan Pemuda MCA Pasir Gudang seperti yang dinyatakan semalam (kelmarin).

“MCA merupakan rakan komponen dalam BN sejak sekian lama dan perkongsian kuasa di antara kaum telah kita amalkan dengan jayanya selama ini. Kerjasama ini boleh rosak dengan tindakan individu tidak bertanggungjawab seperti Pemuda MCA Pasir Gudang,” katanya.

Menurutnya, di sebalik kemerosotan sokongan masyarakat Cina ke atas BN, Chow Hui tidak harus mengubah fokus ke atas Umno dengan menyerang kepimpinan tertinggi parti tersebut.

Khairy yang juga Pengerusi Pemuda BN nyata kesal dengan tindakan Chow Hui  apabila mengaitkan isu perhimpunan baju merah sebagai alasan berbuat demikian.

Katanya, tindakan itu bertentangan dengan prinsip kerjasama dan setia kawan dalam BN serta mencabar semangat kekitaan dalam gagasan yang dibentuk sekian lama.

“Jelas sekali, ini merupakan langkah kebudak-budakan, mendahului parti dan dikhuatiri berniat jahat ke atas kepimpinan negara dalam keadaan serta cabaran geopolitik yang sedang kita lalui.

“Pemuda Umno ingin mengingatkan Chow Hui supaya membuat pertimbangan  wajar sebelum mengeluarkan  kenyataan yang boleh merosakkan kerjasama parti-parti komponen BN,” katanya.

Kelmarin sebuah portal web melaporkan Chow Hui memutuskan hubungan dengan Najib susulan sokongan beliau kepada Himpunan Rakyat Bersatu.

Chow Hui dilaporkan berkata himpunan baju merah menghancurkan keharmonian kaum. Hal ini bermaksud semua anggota Pemuda MCA bahagian itu tidak akan menghadiri majlis Najib atau menyokong beliau dalam apa cara sekalipun.

Pemuda MCA Bahagian Pasir Gudang adalah yang pertama berbuat demikian dalam BN.

 



Comments
Loading...