Khalid Ibrahim tidak terkejut gerakan tubuh parti baru serpihan PKR


SHAH ALAM / ABDUL KHALID IBRAHIM

(Agenda Daily) – Bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengulas mengenai desas-desus pendaftaran parti baru oleh beberapa pemimpin PKR dengan mengatakan beliau tidak terkejut.

Katanya, beliau tidak hairan ada usaha dibuat ahli PKR bagi mewujudkan gerakan kuasa ketiga demi mewujudkan suasana politik yg lebih seimbang

“Saya percaya usaha pihak-pihak terbabit akibat dari kegagalan PKR mengurus parti mereka sepertimana yang diwar-warkan sebelum ini. Terlalu banyak aduan ahli parti yang gagal ditangani oleh pimpinan secara adil, telus dan menyeluruh,” katanya dalam satu catatan di facebook pada Rabu.

Menurutnya, tindakan parti parti politik di dalam Pakatan mutakhir ini juga gagal menyediakan wadah yang lebih kondusif dan inklusif.

“Meskipun demikian saya lebih suka mengambil pendekatan untuk melihat perkara ini dari luar dan tidak langsung terlibat di dalam usaha mereka mewujudkan gerakan pihak ketiga tersebut,” jelasnya.

Pada masa sama, Khalid berkata, beliau masih menunggu keputusan aduannya kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) berkenaan tindakan PKR memecatnya yang didakwa dilakukan secara tidak sah dan melanggar perlembagaan parti itu.

Khalid disebut-sebut antara bekas pemimpin PKR yang terlibat dalam gerakan penubuhan parti baharu itu.

Ia susulan pendedah ahli PKR seumur hidup, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard yang mendakwa terdapat gerakan untuk menubuhkan parti baharu oleh bekas pemimpin dan aktivis PKR dan turut didalangi parti sekutu pembangkang.

“Saya cuba mendapatkan butiran lanjut dan dikenal pasti antaranya ialah individu yang mengaku sebagai Presiden Akar Umbi Keadilan yang kini memegang jawatan sebagai Naib Ketua Cabang, Pengarah Pilihanraya DUN Bukit Antarabangsa, bekas Setiausaha Kerja Pemuda Pusat, bekas Setiausaha Kerja PKR Pusat dan beberapa orang lain yang turut masih memegang jawatan di peringkat Pusat,” kata Badrul.

“Cuma pelik kerana apa relevannya tindakan ini ? Ramai mungkin menuduh mereka ejen UMNO tetapi jika ia usaha musuh kenapa dibuat secara senyap?” katanya.

Dia mendakwa mendapat maklumat dari kakitangan ROS bahawa usaha mendaftarkan parti baharu itu dilakukan di Putrajaya pada minggu lalu.

Katanya, gerakan itu ada kaitan dengan penubuhan Pakatan Harapan yang menyebabkan perpecahan dalam PKR sehingga membawa kepada usaha mengulingkan Presiden, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.



Comments
Loading...