Apakah Himpunan ‘Show Force’ Mampu Ringankan Penderitaan Rakyat?
Menganjurkan perhimpunan secara besar-besaran samada di dalam stadium mahupun di atas jalanraya dengan tujuan dan tuntutan tertentu adalah fenomena biasa. Namun bagi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), himpunan yang dianjurkan wajar memberi kelebihan dan signifikasi yang positif kepada umum khususnya rakyat marhein.
Himpunan membantah GST, himpunan bantah kenaikan harga tol dan himpunan protes harga petrol naik adalah contoh himpunan yang bertujuan meringankan beban rakyat. Manakala himpunan membantah ISA, membantah penipuan pilihanraya pula adalah contoh himpunan yang menuntut hak demokrasi. Semua himpunan yang mempunyai tujuan ini adalah demi rakyat dan wajar dibanggakan.
Baru-baru ini kita dapat saksikan satu himpunan besar yang memenuhi sebuah stadium dengan tujuan menunjuk kekuatan. Dikhabarkan ratusan bas disewa untuk membawa penyokong hadir ke lokasi himpunan. SAMM ingin bertanya apakah tujuan himpunan dianjurkan selain daripada menunjuk kekuatan? Perlukah himpunan begini dianjur ketika rakyat dan kerajaan negeri Kelantan dilihat terjerumus pelbagai permasalahan?
SAMM agak terkejut dengan kenyataan YB Husam Musa beberapa hari sebelum himpunan berlangsung. Beliau membangkitkan banyak persoalan termasuklah soal jumlah tunggakan potongan pelbagai jenis pinjaman guru-guru Yayasan Islam Kelantan (YIK) mencecah RM 14.6 juta hingga September 2015. YIK ialah agensi agama kerajaan negeri Kelantan yang diamanahkan untuk menjalankan aktiviti pendidikan Islam dan pengajian bahasa Arab di Kelantan.
Antara permasalahan yang dibangkitkan oleh YB Husam termasuk gaji guru telah dipotong oleh YIK untuk caruman guru-guru berkenaan tetapi YIK tidak menjelaskan caruman itu kepada agensi sepatutnya malah bayaran caruman kepada Koperasi Maik umpamanya, telah terhenti sejak Jun 2014. Tunggakan juga berlaku kepada Biro Angkasa, Bank Islam, Tabung Haji, KWSP – semua sekali 21 jenis potongan caruman yang tertunggak.
Kerajaan negeri Kelantan yang selama ini dicanang sebagai sebuah kerajaan Islam haruslah bersikap amanah dalam mentadbir sebuah negeri. Pemotongan gaji yang telah dilakukan oleh YIK tetapi tidak dibayar kepada agensi yang dicarum adalah satu perbuatan yang tidak jujur malah ia menyusahkan banyak pihak.
Dalam masa yang sama menurut Husam, pembaziran turut berlaku apabila banyak lawatan luar negara yang melibatkan exco kerajaan negeri termasuklah lawatan ke Indonesia, Russia dan Afrika Selatan. Malah dilaporkan Exco kerajaan negeri telah membuat sumbangan yang besar dalam himpunan terdahulu di Pasir Putih dengan belanja mencecah ratusan ribu ringgit.
Hari ini SAMM pula ingin bertanya, berapakah jumlah perbelanjaan untuk perhimpunan Fastaqim? Tidakkah himpunan ini menelan belanja jutaan ringgit?
SAMM memandang serius akan pembaziran ini kerana ia cukup kontradik dengan apa yang berlaku dan secara langsung melibatkan nasib rakyat khususnya di negeri Kelantan. Dimaklumkan juga bahawa mangsa bah kuning hampir setahun yang lalu masih tinggal dalam khemah dan rumah sementara yang sangat daif. Kini musim tengkujuh kembali, hujan lebat akan mula berterusan. Apakah nasib mereka ketika kalian semua berhimpun dan berpesta ular?
SAMM juga sedang merangka untuk membuat lawatan ke lokasi saki-baki mangsa banjir di Kelantan. Selain menyampaikan sedikit bantuan, SAMM juga ingin memantau keadaan sekeliling dan persediaan menghadapi musim banjir yang baru.
Akhir sekali, SAMM ingin nasihatkan berhimpun memerah keringat kehadiran orang ramai itu biarlah demi sesuatu yang bermanfaat. Jika sekadar ingin menunjuk kekuatan, ambil lah iktibar dari himpunan hijau yang juga hasilnya memenuhi Stadium Darul Aman di Kedah, nampak seolah-olah kuat dan ramai tetapi akhirnya kerajaan Pas Kedah tumbang dalam PRU-13.
Sekian,
Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)