Sambut Maal Hijrah di gereja


xifu naser

“Mengapa kamu mudah sangat murtad?”

Xifu Naser, Sinar Harian

Zamri Vinoth, Presiden Skuad Mubaligh dan juga seorang pendakwah yang berani berfikir luar kotak, telah menelefon saya, “Xifu, jom kita ke karnival besar yang dianjurkan oleh Church of Visitation di Seremban. Gereja yang paling tua sekali di sana. Lu takut pergi gerejakah?”

Cabaran Zamri Vinoth mengingatkan saya kembali kepada soalan-soalan daripada beberapa rakan yang lahir sebagai Muslim. “Xifu, saya boleh masuk gerejakah?” Tanya rakan saya yang ingin berdakwah.

“Mengapa tak boleh?” Saya tanya balik. Soalan tak semestinya dijawab dengan kenyataan. Soalan boleh juga dijawab dengan soalan!

“Kerana saya takut murtad.” Rakan saya jawab dengan jujur. “Semasa saya masih kecil, budaya suruh saya tutup mata bila lalu gereja. Katanya takut saya terpengaruh, lalu termurtad! Salib ada kuasa.”

“Mengapa kamu mudah sangat murtad?” Saya tanya ringkas sahaja tetapi soalan saya ini membuat rakan saya tergamam dan terdiam sambil berfikir.

Pernah juga seorang rakan lain tanya saya, “kalau minum Holy Water, saya boleh murtad tak?”

Saya jawab juga dengan soalan, “kalau saya bagi isteri kamu minum air yang dijampi dengan 30 juzuk al-Quran, rasanya dia akan ubah fikiran, lalu memberi sokongan penuh kepada kamu untuk kahwin lagi satu tak?”

Budaya pengajian agama kita menghadapi masalah mendayuskan umat Islam. Berapa ramaikah graduan pondok, madrasah yang mampu bersaing dalam masyarakat multikultural?

Mampukah mereka duduk dalam majlis ilmiah tentang falsafah John Locke atau Lao Tze, lalu berdiskusi secara kritis dengan penganut pelbagai agama dan ideologi? Mampukah mereka memelihara kebersihan tandas taraf lima bintang?

Mampukah mereka menjemput secara terus-terang rakan-rakan multikultural dengan mesej dakwah: “Peluklah Islam. Kalau ragu-ragu tentang al-Quran, kemukakan bantahan kamu berserta dengan kitab alternatif!”

Saya lihat graduan-graduan agama tidak memiliki daya berhujah yang mampu membawa Islam ke dunia multikultural. Puncanya bagi pendapat saya ialah masalah rohani yang penuh dengan fobia berinteraksi dengan budaya lain. Pelajar-pelajar hanya didedahkan dengan suasana monokultural sahaja.

Kalau sesiapa mencabarnya berhujah, mungkin yang akan tersembur keluar dari mulut ialah, “Lu balik Chinalah!”

Apabila Zamri Vinoth dan saya sampai ke Church of Visitation pada hari Maal Hijrah, kami dapati banyak institusi dakwah tidak hadir walaupun dijemput. Tiada sebab diberi pula.

Tapi yang peliknya, bila institusi ini buat program multikultural, sungguh beria mereka menjemput penganut-penganut Kristian untuk menghadiri majlis mereka di masjid!

Archbishop Katolik memberi ucaptama dalam karnival setelah Zamri Vinoth turut serta membaca doa dalam bahasa Arab di pentas! Archbishop membawa wacana menyeru kesatuan “bangsa manusia”.

Untuk menghormati kehadiran pelbagai penganut agama, tiada seruan untuk percaya kepada Triniti. Hanya ditekankan nilai-nilai kemanusiaan sejagat.

Kami juga dibawa ke church tour sebagaimana Masjid Wilayah menganjurkan mosque tour. Gereja ini juga ada bangunan khas untuk sekolah agama Kristian.

Tetapi yang menariknya, saya diberitahu bahawa kursus bahasa Greek tidak diajar di sini walaupun Gospel yang paling awal ditemui ditulis dalam bahasa Greek.

Ini berlainan dengan madrasah. Bahasa Arab wajib ditawarkan kerana Islam memelihara keaslian bahasa al-Quran. Timbul persoalan adakah agama Kristian tidak mementingkan pemeliharaan bahasa asli Gospel?

Lawatan saya dan Skuad Mubaligh di gereja katolik yang tertua di Negeri Sembilan mentazkirahkan kembali saya tentang beberapa perkara dakwah. Kemesraan luar biasa yang ditonjolkan oleh pihak gereja dan kebersihannya patut dijadikan contoh. Masuk ke kawasan gereja ini seolah-olah masuk ke zon bebas perkauman dan bebas sampah.

Pada masa yang sama juga, saya bertambah menghargai keistimewaan Islam yang begitu menitikberatkan penjagaan bahasa Arab iaitu bahasa asal al-Quran. Tiada huruf diubah sejak zaman Nabi Muhammad SAW.

Faktor kesahihan atau authenticity adalah salah satu indikator utama, sama ada satu kitab agama itu benar-benar wahyu daripada Tuhan atau tidak.

Lawatan saya ke gereja pada hari Maal Hijrah berjaya melonjakkan iman saya pada hari itu. Alhamdulillah.



Comments
Loading...