Wan Azizah nak ulang tayang drama 16 September di Parlimen…


wanazizah-pcxx_400_260

(Agenda Daily) – Ingat balik kisah 16 September 2008 tidak lama selepas pilihanraya umum ke 12. Seluruh negara dibawa menonton drama konon 30 Ahli Parlimen BN nak lompat masuk dalam kolam pembangkang. Gempak yang berlegar waktu itu kerajaan BN sudah nyawa ikan dan akan tumbang.

Hari ini kerajaan BN tetap berdiri teguh. Pelakon utama dalam drama tidak menjadi itu ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini sedang berehat dalam penjara kerana didapati bersalah main belakang pembantunya.

Pada 20 Oktober 2015 isterinya Datuk Seri Wan Azizah Ismail pula mengambilalih watak utama itu untuk menerajui drama baru yakni untuk membawa usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen.

Cuma beza sikit kali ini Presiden PKR dan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu terpaksa jadi bidan terjun memegang watak berat itu hasil persetujuan di mesyuarat pimpinan Pakatan Amanah yang diadakan di pejabat Ketua Pembangkang di bangunan Parlimen Selasa.

Ini setelah rakannya, DAP tidak setuju usul itu dibawa Ahli Parlimen PKR Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menilai ‘macam main guli’ jika usul besar itu dibawa oleh Ahli Parlimen PKR yang lighweight itu. Jadi mereka mahu orang yang bertaraf presiden parti yang main peranan itu.

Hee Loy Sin sudah setuju untuk tarik balik usulnya yang telahpun disenaraikan sebagai urusan nombor 25 daripada 28 urusan yang secara secara keseluruhannya dalam Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, pada hari Isnin, 19 Oktober 2015.

Kisah hendak buat usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri ini bukanlah baru.

Puak pembangkang sudah memekak mengenainya lama sebelum sidang Dewan Rakyat sesi ini bermula. Sebab itu Hee Loy Sin tampil lebih awal mengemukakan usulnya.

Ini semua untuk ambil kesempatan dicelah sentimen isu 1MDB dan wang derma RM2.6 billion dari individu Timur Tengah yang masuk ke akaun Perdana Menteri.

Kalau nak dibandingkan dengan drama 16 September, usul undi tidak percaya yang hendak dikemukakan oleh Wan Azizah tidak ada apa bezanya.

Kedua-duanya mengharapkan sokongan kalangan Ahli Parlimen BN agar ia berjaya.

Dalam Parlimen sekarang ada 222 kerusi. BN ada 134 kerusi. Pembangkang 87 dan Bebas (Tan Sri Khalid Ibrahim) 1.

Fakta yang Wan Azizah dan rakan sewaktunya pun tahu mereka memerlukan sekurang-kurangnya 113 Ahli Parlimen menyokong usul undi tidak percaya untuk tolak Najib.

Ini bermakna mereka perlu tarik sekurang-kurangnya 25 orang Ahli Parlimen BN untuk undi menyokong usul itu.

Tanyalah kalangan pemerhati politik mengenai kemungkinan itu. Kalau ikut situasi yang ada pada hari ini Wan Azizah juga sedang bermimpi di siang hari macam suaminya Anwar dulu untuk mendapat angka yang diharapkan.

Kecuali satu dua Ahli Parlimen BN yang kritikal dalam membuat kenyataan mengenai isu 1MDB dan derma RM2.6 billion, lain-lainnya tidak nampak goyang dalam sokongan mereka pada Najib.

Rata-rata menaruh keyakinan pada usaha kerajaan menangani isu 1MDB dan menunggu hasil siasatan rasmi mengenainya. Perdana Menteri sendiri telah meminta tempoh enam bulan untuk hal ini.

Bukan saja orang luar malah ikut ceritanya kalangan pimpinan pembangkang sendiri tidak nampak sebarang cahaya dihujung terowong mereka boleh dapat sokongan kalangan Ahli Parlimen BN.

Tidak kurang menarik ialah Pakatan jenuh menagih agar PAS turut sama menyokong usul itu.Presiden PAS Datuk Seri Haji Hadi Awang setakat ini belum lagi bagi komitmen itu.Katanya PAS hendak tunggu dan lihat dulu.

Namun Timbalan Presiden PKR Azmin Ali mendakwa kalangan Ahli Parlimen PAS kata setuju dalam pertemuan dengan Wan Azizah.

Lim Guan Eng pula nampak kurang senang dengan sikap PAS yang dakwanya tidak jelas dalam soal usul undi tidak percaya ini. Malah ketika ditanya wartawan beliau meminta tanya sendiri pada Haji Hadi.

Soalnya kalau sudah siang-siang nampak tidak boleh apa perlunya usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri itu hendak diteruskan?

Rasanya budak sekolah darjah satu yang tidak faham politik pun boleh agak. Ini tidak lebih dari ‘hu ha’ perang saraf pembangkang untuk bikin riuh saja.

“Bodoh sangat pembangkang kalau duduk diam peluk tubuh tidak ambil peluang. Lagipun itu sudah kerja pembangkang. Janji buat bising,” kata seorang pemerhati.

Seperti juga gempak 16 September, Anwar boleh buat muka sardin macam tak ada hal bila tak jadi, apa sangat pasal usul undi tidak percaya ini.

Lagipun jelas usul yang hendak dikemukakan oleh Wan Azizah ini sudah pasti tidak akan disenaraikan dalam urusan mesyuarat pada sesi sidang Dewan Rakyat sekarang.

Kalau ia diterima pun usul itu akan masuk dalam urusan mesyuarat pada sidang Dewan Rakyat akan datang pada bulan Mac 2016.

Speakar Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia sudahpun menjelaskan sebarang usul hendaklah dikemukakan 14 hari sebelum sidang Dewan Rakyat bermula.

Katanya sekiranya Wan Azizah hendak meneruskan usul itu dan sekiranya ia diterima, ia cuma akan dimasukan dalam urusan mesyuarat akan datang dan bukan sekarang.

Sesi sidang Dewan Rakyat sekarang yang bermula Isnin akan berakhir 3 Disember.

Seperti diduga, Wan Azizah sudah pun kata beliau tetap nak teruskan kemukakan usul itu.

Namun Wan Azizah pun tahu sekalipun diterima dan masuk dalam urusan mesyuarat sesi sidang Dewan Rakyat akan datang,usul itu belum tentu dapat dibentangkan untuk undian.

Ini kerana ikut peraturan sidang Dewan Rakyat semua usul urusan kerajaan harus dibereskan dulu barulah usul persendirian boleh dibentang.

Contohnya usul persendirian Haji Hadi mengenai Hudud masih belum beres sampai hari ini sekalipun sudah disenaraikan dalam sesi sidang Dewan Rakyat lalu.

Kata orang paling tidak Wan Azizah bolehlah main politik jadikan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri itu modal ‘tunjuk garang’ di pentas ceramahnya.



Comments
Loading...