Azmin nafi Saifuddin Abdullah bakal gantinya sebagai MB Selangor
(The Malaysian Insider) – Mohamed Azmin Ali menafikan khabar angin yang Datuk Saifuddin Abdullah bakal menggantikannya sebagai menteri besar Selangor melalui “Langkah Rawang”, lapor Sinar Harian.
Azmin mengulas khabar angin dalam sebuah portal Isnin lalu mengenai Langkah Rawang yang bertujuan menyingkirkan Azmin sebagai menteri besar dan akan digantikan dengan bekas ahli Majlis Tertinggi Umno itu.
“Saya tidak pernah dengar benda macam itu. Saya dengar benda betul sahaja. Benda yang tidak betul saya tidak mahu dengar.
“Langkah Rawang adalah spekulasi yang tidak betul dan tidak ada kena mengena dengan jawatan saya sebagai menteri besar sekarang,” kata Azmin seperti dilaporkan akhbar Sinar Harian.
Portal itu sebelum ini mengatakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rawang Gan Pei Nei daripada PKR akan mengosongkan kerusinya memberi laluan bekas timbalan menteri pengajian tinggi itu untuk bertanding dalam pilihan raya kecil.
Portal itu turut mengatakan, langkah untuk menjatuhkan Azmin sedang giat dilakukan penentang-penentangnya di Selangor.
“Adun Rawang akan mengosongkan kerusi itu bagi membolehkan diadakan semula PRK DUN Rawang untuk memberi laluan kepada Saifuddin selaku ayam sabung PKR yang diperkatakan ramai bakal menjadi MB baru bagi menyingkirkan Azmin yang semakin ditolak ramai pemimpin mahupun ahli PKR,” tulis portal itu.
PKR tahun lalu menyingkirkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor melalui “Langkah Kajang”.