Debat: Tony Pua…jangan dolak dalik – TPM
(Agenda Daily) – “Beranilah. Apa salahnya. Kalau dulu berani cabar bila orang cabar balik, beranilah. Jangan kenakan syarat itu ini dan sebagainya.”
Itu kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi kepada Tony Pua sambil meminta Ahli Parlimen DAP itu tidak berdolak dalik untuk berentap dengan CEO 1MDB, Arul Kanda.
“Saya fikir jangan berdolak dalik. Kalau dulu Tony Pua boleh mencabar Arul Kanda, maka apabila Arul meminta supaya Tony letak jawatan sebagai ahli PAC, ertinya beliau mencadangkan agar jangan menggunakan hak sebagai ahli PAC itu untuk digunakan di luar daripada mesyuarat.”
“Tetapi kalau itu menjadi permasalahan maka Arul Kanda telah menawarkan tidak ada syarat untuk adakan perbahasan. Ertinya Arul Kanda ini ikhlas dalam menyahut cabaran.”
“Tony Pua pula kata tak boleh perbahasan dan dia nak tanya soalan. Ertinya dia berdolak dalik. Betul dia orang politik, tapi jangan politikkan kaedah untuk perbahasan ini.”
“Saya harap kalau permasalahan ini mahu diselesaikan, terima cabaran Arul Kanda dengan baik. Tanya soalan yang baik-baik. Saya yakin Arul Kanda sebagai seorang ahli profesional akan menjawab dengan baik.”
“Jangan memutarbelitkan dengan meletakkan seolah-olah beliau sebagai ahli Parlimen, atau mana-mana ahli Parlimen terlalu rendah tarafnya berbanding dengan lain-lain kedudukan.”
Zahid menyatakan demikian ketika ditanya soalan mengenai debat itu semasa sidang akhbar selepas mempengerusikan satu mesyuarat di pejabatnya di Putrajaya Isnin.
Serentak dengan itu Timbalan Perdana Menteri berharap debat itu akan beri pencerahan mengenai kebenaran isu 1MDB.
“Walaupun kita berbeza pendapat tetapi mari kita bersama-sama untuk mewujudkan kebenaran. Kalau kebenaran mahu dicari…”
“Saya harap kita mencari beberapa pendekatan menjernihkan fakta-fakta yang keruh dan pencerahan yang dilakukan oleh Arul Kanda akan dapat memberikan gambaran sebenar apa yang berlaku, bukan dengan memesongkan beberapa fakta yang telah dibangkitkan dahulu tetapi diulang-ulang.”
“Saya harap dengan adanya perbahasan ini yang akan dibuat dengan cara terbuka dan secara langsung, maka keberanian serta kejantanan harus terserlah.”
“Kita berani mencabar hendallah bayar dengan harga tunai dengan keberanian dan keikhlasan…bukan dengan mencacamarbakan cabaran itu dengan alasan untuk melarikan diri dengan menghilang dan mencabut kejantanan yang sepatutnya ada (semua reporter gelak sakan). Tulis tu jangan tak tulis.”
Ditanya apakan dari segi pandangan beliau tak ada halangan RTM siar secara langsung debat itu, beliau spontan kata, “Yes…of course. Saya biasa bahas waktu jadi Ketua Pemuda live. Saya tak pernah hilang telinga atau mata.”