DAP, PKR jangan kacau kerusi kami – PAS


iskandar-samad-pas-sgor

(Utusan Malaysia) – Pas tidak akan sama sekali menyerahkan mana-mana kerusi yang kita bertanding pada PRU-13 kepada mana-mana parti lain

Pas Selangor mengingatkan PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) supaya tidak cuba ‘mengacau’ kerusi mereka sekiranya ketiga-tiga parti itu mahu memastikan wujudnya pertandingan satu lawan satu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.

Ingatan itu dinyatakan oleh Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Iskandar Abdul Samad sebagai satu syarat yang harus dipatuhi oleh ketiga-tiga parti terbabit susulan cadangan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali pada Sabtu lalu yang mahukan suasana pertandingan sedemikian bagi mengelak pertindihan di antara parti-parti pembangkang.

“Kita (Pas Selangor) boleh bersetuju dengan cadangan tersebut dengan syarat tiada parti lain (dalam pakatan pembangkang) kacau kerusi Pas. PKR, DAP dan Amanah tidak akan masuk bertanding di kerusi yang ditandingi oleh Pas.

“Pada masa sama, Pas tidak akan sama sekali menyerahkan mana-mana kerusi yang kita bertanding pada PRU-13 kepada mana-mana parti lain,” katanya yang juga Naib Presiden Pas.

Mohamed Azmin dalam satu sidang akhbar sempena Kongres Nasional PKR Tahunan Ke-11 pada 28 November lalu menyatakan hasrat mahu pilihan raya umum akan da­tang berlaku dalam situasi satu lawan satu dan tidak berlaku pertindihan me­libatkan semua parti dalam pakatan pembangkang.

Bagaimanapun, perkara itu menurut Mohamed Azmin, perlu melibatkan proses perundingan dan perbincangan dengan semua parti dalam pakatan pembangkang termasuk Pas dan Parti Sosialis Malaysia.

Sementara itu, Setiausaha Pas Selangor, Mohd. Khairuddin Othman turut menyatakan pendirian parti itu yang akan kekal mempertahankan semua kerusi yang ditandingi melibatkan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU-13 lalu.



Comments
Loading...