Jawapan kepada surat terbuka Tun Dr. Mahathir Mohamad


SSK5

Salleh Said Keruak

Banyak isu-isu yang dibangkitkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dalam blog terbarunya dikitar semula, tidak tepat dan separuh benar yang disensasikan demi mempengaruhi sentimen dan emosi ahli UMNO untuk menentang kepimpinan Perdana Menteri.

Sungguh menakjubkan sejauh mana Tun sanggup menabur fitnah demi menyingkirkan Perdana Menteri dan menubuhkan Council of Elders yang akan mengawal Perdana Menteri boneka beliau.

1.”Satu Malaysia sama dengan Malaysian Malaysia” 

a. Ini merupakan tohmahan kitar semula.

b. 1Malaysia merupakan suatu usaha untuk mewujudkan perpaduan. Perbezaan paling utama dengan konsep “Malaysian Malaysia” ialah 1Malaysia jelas menerima Perlembagaan Malaysia secara keseluruhannya, terutama semua peruntukan yang terkandung dalam Perkara 153.

c. “Malaysian Malaysia” pada mulanya adalah suatu konsep yang bercanggah dengan Perkara 153 dan kemudiannya bersifat amat kabur. Kalaulah 1Malaysia benar-benar sama dengan “Malaysian Malaysia,” tentu sekali tidak akan ada Majlis Pemerkasaan Bumiputera, TERAJU dan lain-lain lagi. Kalaulah 1Malaysia benar-benar sama dengan Malaysian Malaysia, tentulah tidak akan ada Model Baharu Ekonomi (MBE), satu rangka kerja untuk meningkatkan sifat eksklusif dalam ekonomi dan pada masa sama, memperkasakan masyarakat Bumiputera agar mereka menjadi lebih berdaya saing.

d. Mengatakan bahawa 1Malaysia adalah sama dengan “Malaysian Malaysia” merupakan suatu putar belit, dengan niat yang tidak lain dan tidak bukan iaitu untuk mengelirukan orang Melayu.

2. “Penjajah dahulu dilantik sebagai penasihat” 

a. Dalam era globalisasi ini, kebanyakan negara di dunia mempunyai penasihat yang berbilang bangsa dan datang dari seluruh pelosok dunia. Peranan mereka tidak lebih daripada memberi pandangan bukannya menjadi penguasa. Hakikatnya Negara ini ditadbir oleh orang tempatan, Melayu, Cina, India,bumiputera Sarawak dan sabah bukan orang luar. Kuasa tetap di tangan kita dan bukannya di tangan orang luar seperti zaman penjajah.

b. PM mempunyai ramai penasihat di kalangan anggota kabinet, Majlis Tertinggi UMNO, pegawai kerajaan, NGO, termasuklah rakyat Malaysia yang beliau sering lawati. Apalah sangat sumbangan “penasihat luar” ini berbanding orang-orang tempatan yang begitu ramai yang sentiasa menasihati pentadbiran hari ini? Mengapa Tun menggunakan perumpamaan penjajah langsung tidak sama dengan keadaan sebenar? Beliau hanya ingin memburukkan PM dan menimbulkan kerisauan tentang kedaulatan negara dengan tak semena-mena.

3. “Penubuhan PEMANDU untuk menggantikan Unit Perancang Ekonomi” 

a. PM telah pun menjawab tohmahan yang dikitar semula ini.

b. PM menubuhkan PEMANDU sebagai badan untuk menyelia program transformasi, yang bukan sahaja meliputi aspek ekonomi di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) tetapi juga aspek bukan ekonomi di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP), yang sudah tentulah tidak terletak di bawah bidang kuasa EPU, kerana ia adalah sebuah badan ekonomi.

c. Bercanggah dengan apa yang dikatakan Tun, PM memberi kepercayaan yang amat tinggi kepada EPU kerana ia merupakan kunci bagi memastikan kejayaan ETP. Malah, melantik seorang daripada CEO paling berkebolehan di negara ini untuk menerajui EPU.

4. “Meletak negara di bawah kehendak Singapura” 

a. Ini adalah satu kesimpulan yang berbentuk fitnah. Tun menggunakan isu jambatan bengkok dan menyimpulkan bahawa Malaysia meletakkan Negara di bawah telunjuk Singapura.

b. Jabatan Peguam Negara (AGC) kita telah menasihatkan kerajaan mengenai kesan sebarang pengubahsuaian kepada Tambak Johor di bawah undang-undang antarabangsa. AGC menasihatkan bahawa paip-paip dalam Tambak Johor adalah tertakluk kepada perjanjian air Johor-Singapura (1961, 1962), yang menggariskan bahawa paip-paip tersebut adalah milik Lembaga Kemudahan Awam (PUB) Singapura, dan sebarang pengubahsuaian paip itu mesti diluluskan oleh PUB.

c. Tiada persoalan sama ada kita mempunyai keberanian yang mencukupi untuk menentang Singapura. Jambatan bengkok tidak dibina kerana Malaysia komited untuk mematuhi semua perjanjian yang telah ditandatangani. Mana-mana jambatan sekalipun, jika dibina bagi menggantikan Tambak Johor tanpa kebenaran daripada PUB Singapura, akan melanggar hak hartanah Singapura di bawah undang-undang antarabangsa.

d. Kita telah membina hubungan dengan Singapura ke satu tahap di mana kita kini terlibat dalam projek dan usaha sama yang membawa kedudukan yang menguntungkan bagi kedua-dua buah negara. Bagi mengukuhkan lagi perhubungan antara Malaysia dan Singapura, kita kini akan membina kereta api berkelajuan tinggi. Malah, telah tercetus juga idea bagi membina jambatan persahabatan yang dimahukan kedua-dua negara dan tidak akan melanggar undang-undang antarabangsa.

e. Tohmahan dan fitnah Tun bahawa PM meletakkan Negara di bawah kehendak Singapura ini adalah sangat dikesali dan menyedihkan.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...