Kevin tak kerja dengan SPRM ketika fail kes 1MDB dibuka – Datuk Azam


azam-baki kevin-morais

(Agenda Daily) – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menolak dakwaan yang mengatakan bekas Timbalan Pendakwa Raya yang mati dibunuh, Kevin Anthony Morais memiliki maklumat penting berhubung siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dan menyifatkannya sebagai tidak logik.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki (kanan) berkata, mendiang tidak lagi terlibat dengan kes yang dikendalikan suruhanjaya itu sejak meninggalkannya pada penghujung tahun lalu.

“Siasatan dalam kes tersebut (1MDB) mula dibuka pada Julai 2015 dan ketika itu Kevin tidak lagi bersama SPRM. Jadi beliau tidak terlibat.

“Dakwaan beliau mempunyai maklumat penting mengenai kedua-dua kes tersebut adalah tidak benar,” katanya dipetik akhbar hari ini.

Pada 25 November lalu, adik lelaki mendiang, Charles Suresh Morais mendakwa kematian abangnya mempunyai kaitan dengan satu kes yang dikendalikannya membabitkan individu berpengaruh.

Charles yang membuat perakuan bersumpah (SD) juga mendakwa beliau kini memiliki pemacu pena (pen drive) yang mengandungi maklumat terkini berhubung satu kes yang sebelum ini dikendalikan mendiang dan boleh disabitkan dengan kematiannya.

Bagaimanapun Charles beberapa hari kemudian bertindak melarikan diri ke luar negara selepas membuat pelbagai dakwaan berhubung kes kematian abangnya itu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata Charles melarikan diri pada pukul 1.30 pagi Khamis melalui Tambak Johor selepas membuat sidang media mengenai mendiang abangnya pada petang Rabu lalu.

 



Comments
Loading...