Parti ‘tak laku’ punca Mat Sabu tuduh PAS diresapi IS


syarhan humaizi

(Agenda Daily) – Parti Amanah Negara (PAN) gagal mendapat sokongan rakyat atau ‘tidak laku’ apabila pemimpin utama mereka cuba memburuk-burukkan PAS dengan dakwaan kononnya diresapi pemikiran kumpulan militan Negara Islam (IS).

Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor, Syarhan Humaizi Abdul Halim (gambar) berkata, dakwaan tersebut tidak sepatutnya dibangkitkan oleh Presiden PAN, Mohamad Sabu kerana perkara itu bukan hanya tidak berasas tetapi turut menunjukkan keadaan sebenar parti tersebut yang mungkin terdesak mencari so­kongan.

“Tuduhan tersebut jelas berniat jahat. Jika benar PAS diresapi ideologi IS, mengapa PAS tidak diharamkan kerajaan dan masih bergerak sebagai sebuah parti politik. Justeru, apakah niat sebenar beliau membuat dakwaan sedemikian kepada PAS.

“Kita melihat dakwaan tersebut lebih bermatlamatkan politik yang mungkin disebabkan PAN tidak mendapat sambutan. Maka, tuduhan itu mungkin salah satu cara untuk mencapai matlamat mereka meraih sokongan rakyat,” katanya.

Semalam, sebuah portal berita propembangkang menyiarkan laporan bahawa Mohamad mendedahkan antara punca PAN ditubuhkan kerana mendakwa PAS sudah diresapi pemikiran kumpulan militan IS.

Selain dakwaan itu, Mohamad turut menyatakan partinya menuntut siasatan terperinci dibuat pasukan keselamatan negara ke atas penyusupan pemikiran IS yang menyebabkan suburnya budaya ‘takfiri’ dalam PAS.

Malah, Mohamad dilaporkan turut mengesyaki terdapat badan lain yang membawa masuk pemikiran IS sehingga tidak disedari pemimpin PAS sendiri.

 



Comments
Loading...