Tak rugi Tan Sri Muhyiddin tak berucap di Perhimpunan Agung UMNO – Nazri


nazri-aziz

(Agenda Daily) – Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Nazri Aziz berpendapat tiada apa yang rugi Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak berucap semasa Perhimpunan Agung UMNO kali ini.

“Apa untungnya nak dibangkitkan dalam Perhimpunan Agung UMNO kerana dah meluas serata dunia diperbincangkan mengenai isu 1MDB dan dana politik RM2.6 bilion.

“Ia bukan isu baru, Tan Sri Muhyiddin sudah bangkitkan perkara ini semasa beliau masih Timbalan Perdana Menteri dulu,”katanya.

Nazri yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan menyatakan demikian kepada wartawan Agendadaily sewaktu ditemui di bangunan Parlimen Rabu.

Katanya beliau sangat bersetuju Timbalan Presiden UMNO itu tidak dibenarkan berucap sebab tidak ada perkara baru yang hendak dibangkitkan.

“Tidak apapun perkara baru yang hendak disampaikan Tan Sri Muhyiddin kerana  tindakan untuk selesaikan pun sudah dilakukan,”katanya.

Nazri bimbang selain tidak mendatangkan apa faedah ia hanya akan mengeruhkan keadaan dalam parti.

“Tiada yang baru melainkan untuk hasut ahli UMNO supaya timbul ketidakpercayaan kepada presiden parti.

“Sekiranya perkara ini dibangkitkan, apa benda lagi yang belum dibuat oleh kita untuk nak menyelesaikan masalah.

“Apa ruginya jika Tan Sri Muhyiddin tak berucap.Ahli-ahli sayap nak hadapi hari esok dengan tenang tak perlu memikirkan ucapan beliau.Kita mahu mendengar ucapan ketua-ketua sayap, tak rugi kita kalau Timbalan Presiden tidak berucap,”katanya.

Menurutnya bukan soal presiden takut tapi presiden sudah menjawab dan tidak mahu mengundang perpecahan dalam parti.

Nazri tidak tolak kemungkinan jika (dibenarkan berucap) ucapan beliau penuh kontroversi,esoknya akan timbul pertelagahan dengan penyokong-penyokong yang sayang parti.

“Kalau beliau berucap bantai Presiden, sah esoknya beliau akan kena bantai oleh perwakilan, apa untungnya,”ujarnya.

Malah kata Nazri jika begitu, beliau sendiri akan minta kebenaran berucap untuk hentam balik.

“Apa untung, seronok UMNO pecah, saya tak mahu UMNO pecah.Nasihat saya seluruh ahli UMNO, ingat pada cogankata UMNO, bersatu, bersetia, befkhidmat pada parti tiada agenda lain.



Comments
Loading...