Harapkan ustaz, ustaz tidak amanah
ANTARA ayat yang selalu dibaca oleh ustaz ketika berkhutbah Jumaat ialah: “Sesungguhnya ALLAH SWT memerintahkan kamu semua supaya memberikan amanah kepada ahlinya…”. (Surah An-Nisa’: 58)
Menurut Syekh Muhammad bin Soleh Al-‘Uthaimin, dari segi bahasa Arab, perintah yang ada dalam ayat ini mengandungi maksud yang sangat kuat apabila digunakan dengan jelas kalimah ‘ALLAH’. Sesungguhnya ALLAH yang memerintahkan kamu. Ia berbeza jika hanya digunakan ‘tunaikanlah amanah’ atau ‘sesungguhnya Aku memerintahkan kamu’.
ALLAH menyuruh kita supaya memilih orang yang betul bagi menjaga sesuatu amanah. Amanah boleh jadi dalam bentuk sesuatu maklumat, jawatan, pekerjaan, wang ringgit dan harta orang ramai.
KHIANATI AMANAH
Sifat amanah mempunyai kaitan langsung dengan tahap iman. Orang yang diberi amanah, kemudian dia menjaga amanah tersebut seperti yang diharapkan, ia melambangkan kualiti imannya yang baik. Sebaliknya, seseorang yang mengkhianati amanah, ia gambaran kepada imannya yang kotor dan rosak.
Cukup sekiranya seorang individu mengkhianati amanah individu yang lain, dia berdosa dan perlu memohon maaf kepada individu tersebut. Apatah lagi sekiranya amanah tersebut melibatkan kepercayaan, harta dan wang ringgit orang ramai. Semakin besar amanah yang ditanggung, semakin besarlah kesalahannya jika ia diselewengkan dan dikhianati.
Perhati dan renungi peringatan Rasulullah SAW seperti yang berikut: “Tanda orang munafik ada tiga: ketika berbicara dia menipu, jika berjanji dia mungkiri dan apabila diberi amanah dia mengkhianati.” (Muttafaqun ‘alaihi)
Dalam satu riwayat lain, ditambah dengan lafaz “walaupun dia berpuasa, solat dan mendakwa dia sebagai orang Islam.”
Munafik ialah orang yang menzahirkan keislamannya dan menyembunyikan kekufuran. Ia boleh juga ditakrifkan dengan orang yang menzahirkan dirinya sebagai orang baik, tetapi kejahatannya disembunyikan.
Munafik iman sukar untuk dikenal pasti kecuali oleh mereka yang diberikan pengetahuan tersebut. Di zaman Rasulullah SAW pun, ada dalam kalangan mereka yang berpura-pura sebagai Islam, tetapi hakikatnya mereka masih kufur. Bukan semua sahabat Baginda SAW dapat mengenal pasti kelompok tersebut. Huzaifah bin Al-Yaman diberikan pengetahuan ini.
Namun, orang munafik dari segi sifat dan akhlaknya dapat dikenali melalui kelakuan zahirnya. Antaranya tiga sifat yang dinyatakan dalam hadis tadi. Maka, orang yang khianat terhadap sesuatu amanah yang diberikan, dia adalah bersifat munafik.
Munafik dari sudut ini boleh terkena kepada sesiapa sahaja, walaupun yang bergelar ustaz, lebai, haji, habib dan sebagainya, Munafik ini juga boleh berlaku di dalam apa jua bidang dan institusi. Jangan disangka orang munafik (tidak amanah) hanya akan wujud dalam bidang perniagaan, institusi sukan, arena hiburan dan dunia politik sahaja. Bahkan ia boleh juga terpalit kepada institusi yang ada nama Islam di dalamnya. Walaupun ia diuruskan oleh ustaz atau berlatar belakangkan agama, itu semua bukan jaminan mutlak kepada nilai amanah.
LEBIH BERINTEGRITI?
Tambahan lagi, apabila menguruskan wang ringgit dan harta orang awam, mata pun boleh menjadi kelam.
Kadang-kadang, mereka yang bukan ustaz, lebih berintegriti daripada mereka yang dipanggil ustaz atau tuan haji. Kadang kala institusi yang tidak ada nama Islam, ditadbir dengan lebih telus, amanah dan berintegriti daripada institusi yang ada nama Islam.
Lebih menarik, jika sesuatu tindakan yang tidak berintegriti, penyelewengan, pengkhianatan amanah dan sebagainya dilakukan oleh orang agama atau institusi yang ada nama Islam, ada sahaja dalil-dalil yang dibaca bagi menghalalkan perbuatan tersebut.
Sekiranya ada perbelanjaan yang tidak munasabah pun, ia tidak dilihat salah, kerana semuanya boleh berpayung di bawah istilah dakwah. Inilah ‘kelebihan’ orang agama atau institusi yang berkait dengan Islam. Tambahan lagi, jika ia ditadbir oleh orang-orang yang bernama.
Oleh sebab itu, bergelar ustaz atau ‘orang agama’ bukanlah ukuran utama kepada kelayakan untuk diberikan jawatan atau menguruskan sesuatu pentadbiran. Syeikh Al-Islam Ibn Taimiyah dalam kitabnya Al-Siyasah Al-Syar’iyyah fi Islah al-Ra’iy wa al-Ra’iyyah menyebut:
“Hendak dipastikan orang yang terbaik bagi setiap jawatan, kerana sesungguhnya kepimpinan itu mempunyai dua rukun iaitu Al-Quwwah dan Al-Amanah. Ini seperti yang ALLAH firmankan (maksudnya): “Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah.” Kata Raja Mesir kepada Yusuf AS: “Sesungguhnya kamu hari ini menjadi orang yang berkedudukan tinggi lagi dipercayai.” (Surah Yusuf: 54)
Firman ALLAH dalam menyifatkan Jibrail: “(Sesungguhnya al-Quran itu benar-benar firman (ALLAH yang dibawa oleh) utusan yang mulia (Jibrail). Yang mempunyai kekuatan, yang mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi (ALLAH) yang mempunyai ‘Arsy. Yang ditaati lagi dipercayai.” (Surah At-Takwir: 19-21)
Kata Ibn Taimiyyah lagi: “Al-Quwwah dinilai pada setiap kepimpinan berdasarkan keadaannya. Al-Quwwah dalam mengetuai peperangan merujuk kepada keberanian hati, pengalaman dalam peperangan, tipu daya peperangan kerana peperangan itu adalah tipu daya dan kepada kemampuan dalam berbagai jenis peperangan. Al-Quwwah dalam kehakiman manusia merujuk kepada ilmu mengenai keadilan seperti yang ditunjukkan oleh al-Quran dan as-Sunnah dan kepada kemampuan melaksanakan hukum.
Dan amanah pula merujuk kepada perasaan takutkan ALLAH, tidak menjual ayat ALLAH dengan harga yang murah dan tidak takutkan manusia. Inilah tiga ciri yang ditetapkan ALLAH bagi setiap yang memerintah manusia.
PIKUL AMANAH
Justeru, kepada mereka yang diberikan amanah menguruskan hal ehwal dan harta orang ramai, takutlah kepada ALLAH dalam menjalankan tanggungjawab tersebut. Mungkin di dunia kita boleh bentangkan pelbagai hujah dan helah. Namun, yakinkah kita hujah tersebut mampu ditegakkan di hadapan ALLAH?
Rasulullah SAW bersabda kepada sahabah Baginda SAW yang soleh dan warak Abu Zar Al-Ghifari: “Wahai Abu Zar, Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya.” (Riwayat Muslim)
Umat mengharapkan golongan agama menjadi penegak keadilan dan pemusnah kemungkaran. Menjadi penasihat dan penegur jika ada unsur kezaliman dan penyelewengan dilakukan oleh mereka yang diberikan amanah mengurus urusan umat.
Begitu juga dengan institusi yang berkait rapat dengan nama Islam. Diharapkan pentadbiran institusi ini mampu menjadi contoh kepada nilai integriti yang boleh diteladani oleh institusi lain.
Namun, apabila ustaz yang patut mengingatkan perihal nilai amanah pun dilihat tidak amanah dan institusi yang berkait dengan agama pun terpalit dengan krisis integriti, maka siapa lagi yang boleh kita harapkan menjadi teladan.
Ibarat burung pegar yang diharap menjaga tanaman padi dari ancaman haiwan perosak, ia sendiri yang memakan padi tersebut. Harapkan pegar, pegar makan padi. Harapkan ustaz, ustaz pun tidak amanah lagi.
ABD RAZAK MUTHALIB
Penulis ialah Perunding Latihan dan Motivasi di Akademi Magnet Sukses.
Graduan Ijazah Sarjana Kuliah Ilmu Wahyu, UIAM