Isyarat sudah diberi terpulang Muhyiddin, Shafie: PM


Najib

(Agenda Daily) – Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2015) hari ini secara keseluruhannya memohon agar pertelingkahan kepimpinan di dalam parti segera berakhir.

Berkehendak daripada kuasa tertinggi di dalam perlembagaan parti UMNO itu, Najib berkata beliau telah memberi isyarat yang jelas bahawa pertelingkahan harus berakhir seperti yang diminta perwakilan perhimpunan kali ini.

“Saya nampak mesej daripada himpunan hari ini jelas bahawa PAU iaitu kuasa tertinggi UMNO tidak mahu pertelingkahan berterusan di dalam parti kita.

“Isyarat ini jelas bahawa mereka mahu berdamai dengan selesaikan isu dengan semangat syura yang ada di dalam jemaah UMNO,” kata Najib pada sidang media selepas ucapan penggulungan PAU 2015 di PWTC, Sabtu.

Najib yang juga Presiden UMNO ketika ditanya bagaimana penerimaan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mesej pendamaian disuarakan beliau di penghujung ucapan penggulungannya berkata, perkara itu dilakukan mengikut hasrat perwakilan.

“Bukan saya secara peribadi tetapi ini kehendak kuasa di dalam perlembagaan parti. Ia juga bukan dibuat sebagai Presiden UMNO tetapi himpunan PAU hari ini.

“Ia terpulang kepada beliau (Muhyiddin) kena tanya beliau mesej saya sudah jelas,” katanya.

Turut hadir dalam sidang media tersebut adalah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Bendahari Datuk Seri Husni Hanadzlah dan Ketua Penerangan UMNO Datuk Ahmad Maslan.

Sementara itu Muhyiddin dalam reaksi selepas majlis penutup PAU 2015 berkata beliau menerima keterbukaan Najib.

“Baguslah presiden berbesar hati, tetapi selepas ini saya mahu tahu apa langkah untuk selesaikan isu yang dibangkitkan.

“Ini bukan masalah saya tetapi masalah yang dibangkitkan rakyat, supaya tidak ada syak wasangka lagi terhadap kerajaan dan keyakinan rakyat dikembalikan,” kata Muhyiddin.

Dalam pada itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal berkata hubungan sillaturrahim memang sudah lama wujud di dalam UMNO dan beliau menghormati perbezaan pandangan dan analogi politik.

Justeru itu isu mengenai sillaturrahim tidak akan menjadi persoalan.

“Kita sebagai ahli UMNO memang ada hubungan silaturrahim di dalam UMNO, semua orang tahu. Kita (saya dan Najib) masih kawan.

“Saya akan teruskan perjuangan untuk rakyat dan parti UMNO, itu pendirian saya, bukan saya tidak ada kaitan untuk teruskan perjuangan UMNO, sillaturrahim itu bukan satu persoalan,” katanya.

PAU 2015 yang bermula Selasa lalu berlangsung selama lima berakhir hari ini.



Comments
Loading...