YDP Agong hentam pihak yang pertikai fungsi agensi Islam


Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah

(Agenda Daily) – Tindakan sekumpulan pesara kerajaan yang menamakan diri mereka G25 mempertikai fungsi agensi Islam seperti JAKIM telah membangkitkan kemurkaan Yang di Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Sebagai pelindung agama Islam di Malaysia Baginda menzahirkan rasa dukacita terhadap segelintir pihak yang cuba memperkecilkan atau memberi gambaran yang negatif terhadap kewujudan dan fungsi agensi Islam di negara ini.

Ketika bertitah pada sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan 1437H/2015M di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor Khamis Baginda menganggap dakwaan pihak-pihak terbabit adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan keterlaluan.

“Perlu difahami kewujudan dan fungsi agensi ini  sama ada di peringkat persekutuan mahupun negeri adalah bagi melaksanakan fungsi pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam, sekaligus membantu agensi agama di peringkat persekutuan dan negeri untuk mengurus tadbir hal ehwal Islam,” titah baginda.

Baginda diiringi Raja Pemaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah.

Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis serta Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Baginda juga bertitah supaya peranan agensi pembangunan agama di peringkat persekutuan dan negeri perlu dihargai kerana telah melaksanakan berbagai program pendidikan dan penghayatan Islam kepada masyarakat.

Program berkenaan titah baginda lagi telah memberi impak yang amat besar dalam mewujudkan masyarakat yang hidup bersatupadu dan harmoni.

Dalam titah ucapan sama, Tuanku Abdul Halim juga menegaskan bahawa tunjang kepada kemakmuran negara adalah melalui persefahaman dan perpaduan yang kukuh dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum serta agama.

hadirin maulid“Justeru adalah penting untuk kita sentiasa memelihara hubungan baik antara satu sama lain dengan bertoleransi serta saling hormat menghormati agar perpaduan yang sedia ada dapat dikekalkan.

“Kejayaan Rasulullah menyatupadu umat Islam untuk hidup dengan aman damai bersama orang bukan Islam di Madinah seharusnya menjadi teladan buat kita. Rasul berjaya satupadukan individu serta puak yang mempunyai latar belakang berbeza sehingga membentuk masyarakat baru yang diikat melalui Piagam Madinah,” titah baginda.

G25 yang dianggotai sekumpulan pesara kerajaan sebelum ini menimbulkan berbagai kontroversi berikutan pandangan mereka yang liberal dan bertentangan dengan norma atau nilai dalam masyarakat di Malaysia.

Kumpulan ini yang mempunyai pandangan-pandangan seperti pihak pembangkang antara lain meminta kesalahan khalwat tidak dijadikan jenayah kerana hak peribadi selain mempertikaikan mengenai dana kerajaan yang diterima JAKIM.

Jurucakap G25, Datuk Noor Farida Arif dipetik media berkata, JAKIM perlu ingat bahawa mereka diberi wang pembayar cukai oleh orang Islam dan bukan Islam.

Sebelum ini, kerelevanan JAKIM dipersoalkan apabila salah seorang ahli G-25  Tawfik Ismail, menggesa supaya jabatan itu dimansuhkan kerana langsung tidak berperanan mengikut Perlembagaan.



Comments
Loading...