Pas kecewa kenyataan Presiden PKR


Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss

(Sinar Harian) – Situasi itu membuktikan PKR tidak ikhlas bekerjasama dengan Pas sebaliknya parti itu cuba memperalatkan Pas demi kepentingan mereka.

Pas Kuala Kangsar kecewa dengan kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mendakwa parti itu kurang berpengaruh di Sarawak.

Yang Dipertuanya, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata, kenyataan itu mengguris hati ahli Pas terutamanya  mereka yang bertungkus-lumus menjalankan gerak kerja bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menurutnya, kenyataan sedemikian juga seakan memberi gambaran bahawa Pas tidak mempunyai peluang untuk meletakkan calon di Sarawak dalam PRN kelak.

“Situasi itu membuktikan PKR tidak ikhlas bekerjasama dengan Pas sebaliknya parti itu cuba memperalatkan Pas demi kepentingan mereka.

“Kenyataan dikeluarkan beliau lebih mementingkan survival politik Pakatan Harapan berbanding Pas. Sebagai rakan kerjasama, PKR sepatutnya menghormati Pas dan berusaha memperjuangkan hak parti ini khususnya dalam konteks PRN Sarawak,” katanya.

Raja Ahmad Iskandar berpendapat PKR hanya mahu meraih sokongan penyokong Pas kerana mereka tahu sokongan terhadap pakatan baru belum mampu memastikan kedudukan pembangkang dalam politik negara.

Beliau berharap Pas Sarawak tidak tunduk dengan desakan PKR sebaliknya terus fokus menghadapi pilihan raya di negeri itu yang dijangka akan diadakan pada bila-bila masa.

“Kami sarankan agar Pas meletakkan lebih banyak calon pada kali ini khususnya majoriti Melayu Islam dan bersedia mengambil alih kerusi kerusi yang ditandingi PKR.

“Kami juga menyarankan agar pimpinan Pas Pusat dan Sarawak membuat ketetapan, sama ada menghadapi Sarawak atas nama Pakatan Rakyat atau bersendirian,” katanya.

Beliau berkata, jika PKR mahu menghadapi Sarawak melalui platform Pakatan Harapan, maka PKR tidak perlu untuk bergerak menghadapi BN bersama Pas,” tegasnya.

 



Comments
Loading...