Kuota ahli majlis: DAP patut beri laluan, bukan Pas


image

(Sinar Harian) – Bukan Pas tetapi DAP yang sepatutnya memberikan laluan kuota ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) kepada Parti Amanah Negara (Amanah).

Adun Meru, Dr Abd Rani Osman berkata, DAP perlu memberikan kuota kepada Amanah kerana mereka mempunyai kerjasama di dalam politik.

“Kalau ikutkan pada kerjasama, DAP sepatutnya memberikan kuota mereka dan bukan Pas yang tak ada kena mengena dengan Amanah.

“Itu baru dinamakan kerjasama sekiranya mereka memang benar-benar berada di dalam Pakatan Harapan,” katanya, semalam.

Menurutnya, Pas hanya akan memberikan laluan kepada Amanah sekiranya pimpinan tertinggi parti memutuskan berbuat demikian.

“Saya sebagai Adun dan beberapa kawan lain yang tak memegang jawatan dalam parti hanya akan menunggu keputusan daripada pucuk pimpinan parti.

“Kalau kata bagi laluan, maka kita akan bagi laluan. Tapi, kalau apa yang berlaku adalah sebaliknya, maka kita semua akan akur,” katanya.

Beliau berkata, keputusan mengenai hal berkenaan hanya akan diketahui selepas pimpinan tertinggi parti mengumumkannya kelak.

Adun Selat Klang, Dr Halimah Ali pula berkata, dia menyokong kenyataan yang dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad yang enggan memberi laluan kuota kepada Amanah.

Katanya, perkiraan kerajaan negeri Selangor hanya melibatkan tiga parti  yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.

“Yang relevan dalam pembentukan kerajaan negeri adalah parti-parti yang bertanding di dalam pilihan raya lalu sahaja,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Pas Selayang, Mohd Zaidy Abdul Talib berkata, setiap parti yang terlibat iaitu Pas, DAP dan PKR telah melantik wakil masing-masing untuk perbincangan.

Katanya, ahli dan pimpinan parti akan menghormati keputusan yang bakal diambil hasil daripada perbincangan yang dijangka selesai minggu ini.



Comments
Loading...