PAN mahu pilihan raya PBT dihidupkan semula


mat sabu

(Antarapos) – Parti Amanah Negara (PAN) mahu Pakatan Harapan menghidupkan semula pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri-negeri naungan pembangkang, selepas cadangan tersebut tidak dapat diteruskan sebelum ini ekoran tidak mendapat persetujuan daripada PAS.

Presidennya, Mohamad Sabu atau Mat Sabu berkata, PAN mengharapkan agar cadangan tersebut direalisasikan selaras dengan pendirian partinya yang menyokong reformasi.

“Kita harap agar hidupkan semula pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Ianya untuk mengelakkkan nepotisme, pembaziran dan korup dikurangkan.

“Bila ahli majlis, datuk bandar dipilih rakyat, maka dia bertanggungjawab kepada rakyat, dan bukan kepada parti.

“Parti ‘sejarah’ kami oleh kerana fahaman perkaumannya tebal, amat tidak suka bila diutarakan mengenai pilihan raya PBT. Tapi kita PAN ini parti reformasi. Malah Islam juga meletakkan rahmat untuk semua,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Persidangan Pimpinan Pakatan Harapan, di sini hari ini.

PAS tidak bersetuju dengan pelaksanaan pilihan raya PBT yang diperjuangkan DAP kerana berpendapat ia boleh melebarkan jurang antara kaum dan mendorong kepada insiden rusuhan kaum sebagaimana yang terjadi pada 13 Mei 1969.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul hadi Awang berkata desakan DAP untuk pilihan raya PBT akan menyebabkan ketidakstabilan masyarakat majmuk di Malaysia dan hanya menguntungkan kaum Cina sahaja.

Isu pilihan raya PBT itu menjadi duri dalam daging kepada hubungan kerjasama antara PAS dan DAP, selain isu hudud yang cuba diperjuangkan, yang mana akhirnya mendorong kepada perpecahan gabungan Pakatan Rakyat (PR), Julai lalu.

Dalam pada itu Mat Sabu berkata, rakyat tidak seharusnya terperangkap dengan isu perkauman yang dimainkan pelbagai pihak, kononnya DAP cuba mendominasi gabungan pembangkang untuk menguasai negara kelak.

“Org cina secara sendiri tak dapat memerintah Malaysia, mereka hanya 25 peratus dan kerusi mereka pula sedikit.

“Manakan mereka boleh berkuasa. Doktrin perkauman ini diprogramkan oleh pemerintah. Oleh itu kita kena pecahkan dan jangan masuk dalam perangkap mereka.. kalau masuk, kita tak dapat dapat bebas dari hegemoni politik Barisan Nasional,” katanya lagi.

Tambah Mat Sabu, rakyat perlu bertindak menukar pemerintahan Umno-Barisan Nasional yang terlalu menekan rakyat dengan polisi serta dasar yang mempunyai agenda, pada pilihan raya umum akan datang.

Ujarnya, walaupun PAN merupakan sebuah parti baru yang hanya berusia tiga bulan, namun ia berikirar untuk memberi komitmen sebaik mungkin bagi memastikan kemenangan pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.

PAN juga katanya tanpa ragu-ragu memutuskan agar bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat menjadi Perdana Menteri sekiranya pembangkang berjaya menawan Putrajaya.

“Siapa yang kita nak letak pimpinan utama kita. PAN putuskan dan bersetuju pimpinan utama kita yang berada di dalam Penjara Sungai Buloh sekarang ini.. Jangan ragu dan bimbang, dekat-dekat pilihan raya nanti, kami tak akan cari calon lain dari Gua Musang atau di Pagoh,” katanya merujuk kepada calon perdana menteri yang sering disebut iaitu Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.



Comments
Loading...