Kerajaan kaji keperluan tetapkan harga lantai petrol – Hamzah Zainudin


81453255356_datukhamzahzainudd

(Astro Awani) – Kerajaan kini sedang membuat kajian untuk menetapkan harga lantai (floor price) bagi penjualan produk petroleum di negara ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Bagaimanapun, tegas beliau, Kerajaan masih kekal menggunakan kaedah Pengapungan Terkawal dalam penetapan harga runcit untuk petrol RON95, RON97 dan diesel pada Februari akan datang.

“Kita (Kerajaan) sedang membuat kajian dahulu (untuk menetapkan) apakah harga terendah yang boleh kita letak.

“Buat masa kini, kita masih lagi menggunakan kaedah Pengapungan Terkawal. Jadi kita ikut perkara (kaedah) yang telah dipersetujui sehingga satu harga yang akan kita fikirkan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.

Ditanya adakah Kerajaan akan membuat pengubahsuaian harga runcit petrol pada pertengahan bulan, jelas Hamzah, penetapan harga baharu akan kekal pada penghujung bulan.

“Kita tidak buat (penetapan harga baharu) di tengah-tengah bulan walaupun harga minyak mentah dunia jatuh merudum. Kita buat penghujung bulan.

“Kita akan buat secara purata, dan akhir bulan kita akan umumkan,” katanya.

Mengulas berkenaan pengubahsuaian Bajet 2016, Hamzah berkata bukan hanya Kementerian, malah setiap individu serta keluarga juga perlu menyemak semula perbelanjaan mereka.

“Kurangnya pendapatan menyebabkan bajet kita akan diubah suai dalam beberapa perkara. Ia termasuklah kementerian saya.

“Kalau kita (Kerajaan) terpaksa perketatkan perbelanjaan, semua rakyat terpaksa melihat bahawa semua ini sesuatu yang rakyat juga terpaksa buat semakan dari segi bajet individu atau keluarga masing-masing,” ujar Hamzah.

Bermula 1 Disember 2014, Kerajaan memutuskan penetapan harga runcit bagi petrol RON95 dan diesel adalah mengikut kaedah Pengapungan Terkawal.

Kaedah ini adalah sama dengan pelaksanaan penetapan harga runcit RON97 sejak 2010.

Harga runcit produk petroleum di Malaysia ditentukan melalui kaedah Automatic Price Mechanism (APM) sejak 1983.

Melalui APM, kerajaan akan menetapkan harga runcit pada satu paras tertentu di mana perubahan kos produk tidak akan mengubah harga runcit.

Bagaimanapun, melalui pengapungan terkawal ini, purata perubahan kos produk akan menentukan penetapan harga bulan berikutnya.



Comments
Loading...