Punca Mukhriz Perlu Beri Jawatan Pada Orang Lain Di Kedah Dikenal Pasti


Mukhriz

(Utara News) – Penulis melihat situasi politik di Kedah sangat mengujakan di saat ini. Pernah penulis membicarakan tentang luahan akar umbi warga UMNO di Kedah tentang Pengerusi UMNO Negeri, Dato’ Seri Mukhriz Tun Mahathir, tapi ramai yang memandang ia soal remeh.

Malah pada pihak yang menyokong Mukhriz, mereka seolah-olah ‘buta’ dari rasional dan realiti politik sebenar yang sudah sekian lama terpendam. Menipu diri sendiri dari realiti sebenar adalah satu tindakan tidak bijak oleh mereka yang mengelilingi Mukhriz.

Semua orang tahu Mukhriz naik menjadi Menteri Besar Kedah setelah menafikan hak Dato’ Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang sebelum itu bersengkang mata, mengunakan kudrat separuh abadnya menyatukan semua warga UMNO di Kedah untuk merampas kembali negeri tersebut dari PAS.

Mempunyai kelebihan ‘Father’ yang sebelum ini merupakan ‘God Father’ politik sesetengah pihak yang taksub politik individu, Mukhriz dikatakan terpaksa menerima jawatan Menteri Besar di negeri itu walaupun hatinya ‘melekat’ di Kuala Lumpur.

Mungkin tidak biasa mengendalikan pentadbiran dan politik di peringkat negeri, Mukhriz dikatakan bergantung harap pada mereka-mereka yang dilantik ke jawatan penting dan memberi ‘nasihat’ padanya untuk mengetuai pentadbiran kerajaan negeri serta budaya politik UMNO di Kedah yang disifatkan berbeza dari negeri lain.

Dikatakan bahawa itulah langkah sumbang Mukhriz. Pegawai yang beliau lantik di kanan dan kirinya boleh dikatakan hampir ‘buta’ dengan lantikan tersebut, dan sering memberikan nasihat yang salah terutama dari sudut politik negeri di bahagian-bahagian.

Satu persatu Ketua UMNO Bahagian serta seluruh akar umbi parti meneliti dan membaca gerak geri Mukhriz. Seorang demi seorang KCS menelaah gerak pentadbiran dan visi anak Mahathir itu. Mukhriz diperhati luarannya oleh rakyat Kedah secara umumnya…

Sehingga tiga tahun Mukhriz di Kedah, boleh dikatakan hampir semua UMNO Bahagian dan akar umbi hilang sabar. Mukhriz masih ‘buta’ politik. Rasa cuak bakal kalah PRU mula mereka rasa.

Lebih dari separuh ‘rejim Mukhriz’ dilantik dan menjawat jawatan penting di UMNO Kedah. Yang berpengalaman, terbukti berkesan dan dianggap ‘lama’, habis dinyahkan dari ibu pejabat UMNO Negeri itu. Maka terkontang-kantinglah ‘rejim Mukhriz baru’ itu tidak tahu apa yang hendak dibuat.

Malangnya, Mukhriz seolah-olah tidak tahu mereka tidak tahu buat kerja walau sudah diberitahu. ‘Kepala perang’ pula diserahkan kepada ‘calon PRU yang kalah perang’.

Setiausaha Kerja dikatakan tiada hubungan yang baik dengan UMNO di Bahagian-Bahagian membantutkan kerja. Malah dalam satu keadaan ‘kepala perang’ ditinggalkan ‘bertapa’ di Kedah, dan Setiausaha Kerja bawa ‘dayang-dayang’ ke ‘medan perang’ menghadapi PRK yang berlangsung. Mujurlah ada jentera dari UMNO Bahagian yang ‘back up’.

Selain itu, Mukhriz turut dikatakan melantik Setiausaha Politik yang gagal melaksanakan tanggungjawabnya sehingga menyebabkan majoriti UMNO Bahagian rasa jauh hati, tidak selesa dan tidak menyokong Pengerusi UMNO Kedah yang dilantik Presiden UMNO pada 2013 itu. Bila pegawai paling kanan Mukhriz itu ditegur, dimarahnya pula pihak yang menegur? ‘Bijak sungguh’ politik Setiausaha Politik yang Mukhriz lantik, bukan?

Di peringkat KCS pula, khabarnya cakap-cakap awal dari pegawai-pegawai pentadbir negeri yang bernaung di bawah Sultan Kedah itu mula kedengaran pada awal majlis Mukhriz melantik barisan Exco Kerajaan Negeri. Khabarnya, ada beberapa Exco yang ‘blur’ bila KCS mengadakan taklimat dalam bahasa Inggeris?

Selain itu, turut dikatakan Mukhriz dan beberapa barisan Exconya dilihat gagal mengambil hati jentera pelaksana dasar kerajaan negeri itu sehingga timbul desas-desus yang mengatakan beliau dan barisan pilihannya itu ‘tidak tahu prosedur’ dan ‘main redah saja’. Cerita tentang Mukhriz ‘tidak berlaga angin’ dengan seorang ‘bekas SUK’ turut menjadi bualan hingga kini…

Namun berbeza pula dengan cerita di pihak rakyat. Persepsi rakyat padanya dikatakan baik-baik belaka walau Mukhriz hanya sekadar ‘berselfie’ dengan mereka. Membawa pasukan ‘media sosial’ berbayarnya ke kedai kopi makan roti canai, diambil gambar seolah ‘berjiwa marhain’ telah mempengaruhi persepsi orang Kedah terhadap beliau.

Mungkin mereka tidak sedar bahawa Mukhriz gagal menyediakan 20,000 peluang pekerjaan di Kedah. Mungkin mereka tidak peduli tentang tiada litar lumba yang dijanjikan. Mungkin mereka tidak kisah Mukhriz tidak melakukan apa-apa di Kedah asalkan mereka boleh berselfie dengan beliau di pasar pagi atau dipasar malam, itu sudah memadai untuk KPInya selaku Menteri Besar yang berjasa?

Pada pandangan penulis, Mukhriz memang popular di mata rakyat Kedah. Tapi mereka tidak sedar tentang kerisauan di sudut hala tuju pentadbiran negeri Kedah dan akar umni UMNO Kedah yang bimbang dengan persediaan parti bagi menghadapi PRU ke-14.

Untuk rekod, kerajaan BN di Kedah bukannya kuat sangat, hanya majoriti mudah saja. Itulah yang dibimbangkan, takut tumbang sekali lagi dan Mukhriz dijangka akan menyalahkan Najib atas kekalahan tersebut.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...