Peguam Negara tidak boleh didakwa ikut Seksyen 217, 218


Apandi_Ali

(Berita Harian) – Tan Sri Mohamed Apandi Ali (gambar) tidak boleh disiasat mengikut Seksyen 217 atau 218 Kanun Keseksaan kerana Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Peguam Negara kuasa budi bicara mutlak memulakan pendakwaan jenayah.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Mohamad Noor Ahmad, berkata dasar yang betul berhubung pendakwaan jenayah adalah ia mempunyai 99 peratus kes sebelum seseorang boleh didakwa.

Katanya, pendakwaan tidak boleh terus dilakukan bagi mencari kebenaran atau meminta seseorang itu menjelaskan dia tidak bersalah hanya disebabkan prinsip ‘seseorang dianggap tidak bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah’.

“Pendakwaan tanpa kes kukuh ke atas mana-mana individu, apatah lagi jika membabitkan seseorang yang memegang jawatan tinggi dalam kerajaan akan membabitkan ketidakadilan kerana reputasi serta nama baik individu yang terjejas tidak akan dapat dipulihkan.

“Hanya peguam yang mempunyai pengalaman luas akan benar-benar memahami keadaan ini dan selok-belok pendakwaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Noor yang pernah menjadi ketua pendakwa pada zaman Tan Sri Abu Talib Othman di Jabatan Peguam Negara memberikan pandangan berkenaan susulan tindakan pihak tertentu yang tidak berpuas hati dan mempersoalkan mengenai tindakan Mohamed Apandi yang membersihkan nama Perdana Menteri membabitkan isu dana RM2.6 bilion.

Sehubungan itu, katanya, Datuk Seri Najib Razak juga tidak melakukan kesalahan mengikut Seksyen 165 kanun sama kerana dana RM2.6 bilion itu sumbangan politik kepada UMNO dan bukannya kepada kerajaan.

Baru-baru ini, sebuah portal berita melaporkan kenyataan bekas pegawai kanan Badan Pencegah Rasuah (BPR), Mohamad Ramli Manan bahawa Mohamed Apandi boleh disiasat mengikut Seksyen 217 dan 218 kanun berkenaan berkaitan penjawat awam yang ingkar arahan undang-undang dengan niat menyelamatkan seseorang daripada hukuman atau pelucutan harta.

Mengikut portal itu, Mohamad Ramli turut mengaitkan Perdana Menteri mungkin melakukan kesalahan mengikut Seksyen 165 kanun sama berkaitan dana politik RM2.6 bilion.

 



Comments
Loading...