Mahathir di belakang operasi (GKCM) pecahkan UMNO
Zainuddin Maidin
Bolehkah pucuk pimpinan UMNO memandang sepi terhadap kebangkitan Gerakan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) yang akan mengumpul kekuatan semua cawangan UMNO yang menolak kepimpinan Najib untuk menjalankan operasi demokrasi berstratiji bagi menggulingakan Najib.
Ahli-ahli cawangan atau akar umbi UMNO pastinya akan mudah menyertai cawangan Malaysia yang tidak lagi memerlukan pengesahan keahlian mereka kerana mereka sudah pun menjadi ahli yang sah.
Tentunya bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir bersetuju untuk menjadi penaung kepada gerakan ini setelah membuat perhetongan yang semasaknya akan keberkesanannya dan juga implikasi dari segi Perlembagaan UMNO.
Ini boleh dianggap sebagai suatu gerakan teratur dalam UMNO untuk menyingkirkan Datuk Seri Najib menerusi hak demokrasi ahli UMNO seperti hak demokrasi yang dimiliki oleh Presiden UMNO untuk menggunakan parti untuk menumpaskan Tan Sri Muhyiddin, Mukhriz Mahathir dan beberapa orang lagi pemimpin UMNO yang menentangnya.
Gerakan ini akan melahirkan parti dalam parti menerusi demokrasi dan akan dapat menggerakan langkah yang berkesan dalam menyatukan semua cawangan yang menjadi api dalam sekam UMNO sekarang.
Berbanding dengan penubuhan Semangat 46 yang dijuarai oleh Tengku Razaleigh yang gagal untuk gulingkan Tun Mahathir kerana datang dari kepimpinan tertinggi tetapi GERAKAN ini datang dari akar umbi UMNO yang tidak percaya pada Najib dan ketika keraguan rakyat pada kredibiliti Najib terus membara di seluruh negara.
Najib berjaya mengawal kesetiaan bahagian-bahagian UMNO tetapi cawangan-cawangan UMNO hanya menanam tebu di tepi bibir terhadap ketua bahagian. Saya bercakap dengan banyak ahli UMNO cawangan. Mereka berpegang kepada ajaran Allahyarham Nik Aziz Tok Guru Pas “beri wang ambil” tapi sokongan dalam pilihanraya umum kelak hak masing-masing.
Cawangan-cawangan UMNO ini sedang menunggu untuk menyertai suatu gerakan yang benar-benar meyakinkan mereka untuk menamatkan pemerintahan Najib dan dengan Tun Mahathir mengambil tanggungjawab di belakang gerakan ini maka tentunya akan sedikit sebanyak meyakinkan mereka.
Keadaan akan lebih mengancam jika gerakan ini disertai oleh Tengku Razaleigh, Tan Sri Muhyiddin, Mukhriz Mahathir dan lain-lain pemimpin UMNO yang masih bepengaruh dalam UMNO yang telah disingkirkan oleh Najib
Perpecahan besar pastinya akan berlaku dalam UMNO jika Datuk Seri Najib gagal untuk mencegah gerakan ini dengan pantas yang akan merebak menjadi suatu kebangkitan dalaman dalam UMNO.
Bagaimanapun Tun Mahathir meanggap ini sebagai suatu gerakan penyatuan semula yang akan membantu parti yang hilang kepercayaaan ahli dan masyarakat umum terhadap UMNO yang dilanda masalah kepimpinan yang meruncing. Mahathir percaya hanya dengan pengunduran Najib akan memulihkan UMNO.
Kepada Tun Mahathir inilah peluang terakhir baginya untuk menyelamatkan UMNO dan beliau tidak akan menyokong gerakan ini jika tidak nampak chahaya dihujung terowong.