DAP tak mahu Pas jadi ketua


image

(Sinar Harian) – Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mendedahkan kelantangan DAP menentang Pas bukan sahaja disebabkan isu hudud semata-mata.

Menurutnya, DAP sebenarnya tidak mahu Pas menjadi ketua dalam mentadbir negara di masa hadapan.

“DAP ini kenapa serang sangat, sebab Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di dalam (penjara). Dia (DAP) tidak boleh terima kalau Pas jadi ketua. Sebab itu saya kata ada perkara lain.

“DAP ini tidak setuju Pas bawa hudud ke Parlimen. Hudud ini kita mahu buat dan Kelantan sudah menang berapa puluh tahun dah. Bila ada ruang kena bawa lah. Bawa sebab kewajipan,” katanya ketika sesi soal jawab beliau bersama penyokong parti, di JKR 10, semalam.

Dalam masa yang sama belia menegaskan ‘Langkah Kajang’ merupakan punca pertama yang menyebabkan krisis melanda Pakatan Rakyat sekali gus menyebabkan DAP menyerang Pas.

“Kita akui tiada sebab untuk tukar Tan Sri Khalid Ibrahim, tiba-tiba tanpa perbincangan mahu tukar, Pas seperti yang diketahui tidak setuju dan berlaku percanggahan sehingga DAP menyerang Pas,” katanya.

Sementara itu, dalam sidang medianya ketika diminta mengulas mengenai tindakan Amanah yang didakwa menyerang Pas Kelantan sejak kebelakangan ini, Tuan Ibrahim berkata legasi peninggalan arwah Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mesti diteruskan jika benar rakyat sayangkan negeri ini.

“Kalau kita sayang kerajaan negeri yang dipimpin oleh tok guru, kita kena pertahankan legasi ini. Kalau serang Kelantan dan hilang Kelantan, maka hilanglah legasi arwah tok guru.

“Hak dia (Amanah) nak sokong mana pun tapi untuk pertahankan konteks Pas di Kelantan maka kita pakat dukung legasi Pas di sini. Kalau mahu tumbangkan BN, kita kena cari tempat yang mana kita boleh menang,” katanya.



Comments
Loading...