Padan Muka Mahathir – Mana ada krisis Menteri Besar?
Oleh S Arutchelvan, Free Malaysia Today
Pada 3 Februari yang lalu, akhirnya Mukhriz Mahathir letak jawatan setelah bergelut selama 2 minggu untuk mengekalkan jawatan Menteri Besar Negeri Kedah. Ada yang menyifatkan ini sebagai satu krisis Menteri Besar Kedah. Bagi saya, nampaknya tidak ada sebarang krisis dan cara UMNO menangani isu ini adalah sama sepertimana UMNO mengendalikan semua krisis MB sebelum ini. Kita semua faham bahawa pertarungan sebenarnya bukan antara Mukhriz dengan Ahmad Bashah. Ia juga langsung tidak ada kaitan dengan prestasi MB di mana jarang sekali seorang MB dalam UMNO dikeluarkan kerana prestasinya. Orang umum mengetahui bahawa pergelutan sebenarnya adalah antara kem Najib Razak melawan bekas Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad.
Apabila gajah sama gajah bergaduh, memang ada pelanduk mati di tengah. Namun, pelanduk di sini adalah rakyat jelata manakala ada juga segelintir kecil yang menjadi kaya dalam krisis.
Perlembagaan
Di negara kita, walaupun negeri mempunyai autonominya sendiri dari segi hal ehwal tanah dan Dewan Undangan Negeri untuk membuat enakmen, tetapi kebanyakan kuasanya masih diturunkan dari Pusat memandangkan untuk sekian lama UMNO-BN memerintah hampir semua negeri dalam Persekutuan. Maka, Mukhriz sebenarnya tidak dilantik sebagai Menteri Besar oleh DUN Kedah, mahupun oleh rakyat Kedah, mahupun dilantik oleh Institusi Raja di Kedah atau mendapat kepercayaan di Dewan Undangan Negeri. Mukhriz Mahathir dilantik oleh Najib Razak selaku Perdana Menteri Malaysia.
Oleh itu, sebenarnya tidak ada krisis perlembagaan dan sebagainya. Najib melantik Mukhriz dan Najib pula memecat Mukhriz.
Apabila Mukhriz memijak jari Najib, mempersoalkan beberapa kepincangan dalam 1MDB – projek kesayangan Najib, selain daripada menunjukkan sokongan kepada Muhyuddin Yassin yang telah dipecat Najib; maka terbukti Mukhriz sudah gagal ujian ketaatannya kepada pemimpim dalam UMNO. Dalam UMNO, menghormati pemimpin parti lebih penting dan lebih relevan daripada menghormati UMNO sendiri.
Contohnya, Dr. Mahathir yang menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO 22 tahun gagal menang untuk menjadi salah seorang perwakilan di Perhimpunan Agung UMNO 2006, apabila tewas dalam pemilihan Mesyuarat UMNO Bahagian Kubang Pasu. Beliau hanya mampu menduduki tempat kesembilan daripada keseluruhan 15 calon yang bertanding merebut tujuh kerusi perwakilan bahagian tersebut. Di sini seorang mantan Presiden UMNO untuk dua dekad tidak mampu melawan Abdullah Ahmad Badawi Presiden UMNO pada masa itu. Maka, terbukti apabila hilangnya kuasa, maka hilanglah pengaruh.
Razak – Mahathir
Jika kita melihat sejarah Tun Abdul Razak dengan Tun Mahathir, maka apa yang kita boleh lihat adalah warisan yang penuh dengan politik saling bertikaman di belakang, kronisme dan nepotisme.
Jika diteliti, Tun Razak, Perdana Menteri kedua Malaysia menjadi PM selepas berjaya memaksa Tunku Abdul Rahman meletak jawatan pada tahun 1970 sebagai Perdana Menteri dan kemudiannya sebagai Presiden UMNO pada Jun 1971.
Pengkritik utama Tunku pada masa itu adalah Dr. Mahathir, iaitu Pengerusi UMNO Negeri Kedah.
Pada 26 September 1969, Dr Mahathir telah dipecat daripada UMNO kerana peranannya dalam menuntut Tunku Abdul Rahman meletak jawatan selepas peristiwa 13 mei 1969. Orang yang banyak mendapat faedah daripada penentangan Mahathir ke atas Tunku dan juga penulisan bukunya “Dilema Melayu”, adalah Tun Razak. Jadi, tidak hairanlah, semasa zaman Darurat 1969, Tun Razak telah dapat mengawal parti melalui MAGERAN – Majlis Gerakan Negara yang dipengerusikan oleh dirinya sendiri. Dengan kekuasaan tertumpu pada Mageran dan tentangan Mahathir terhadap Tunku, maka Tunku hilang populariti dan seterusnya meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.
Maka tidak hairanlah apabila Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir dibawa masuk semula ke dalam UMNO pada 7 Mac 1972 dan dilantik sebagai senator pada tahun 1973. Hutang Dr. Mahathir kepada Tun Razak ini akan terus dibayar balik kepada anaknya apabila Tun Razak meninggal dunia pada tahun 1976.
Tun Razak digantikan oleh Hussein Onn, iaitu anak kepada Dato Onn Jaafar, Presiden Pertama UMNO. Jika ditinjau, tiga keluarga ini (iaitu keluar Onn Jaafar, Razak dan Mahathir) terus mendominasi politik Malaysia dan UMNO sejak merdeka lagi.
Pada pertengahan tahun 1981, Hussein Onn mengumumkan pesaraannya kerana faktor kesihatan tetapi ramai pemerhati mengatakan bahawa beliau telah disiku keluar oleh Dr. Mahathir, semasa Dr. Mahathir menjadi Pemangku Perdana Menteri pada masa itu. Cara yang sama cuba digunakan oleh Anwar Ibrahim untuk menyingkirkan Dr. Mahathir semasa Anwar menjadi pemangku PM tetapi terbukti Mahathir lebih pandai dan terus menghancurkan karier politik Anwar dalam UMNO selepas itu.
Selepas Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri pada tahun 1981, beliau telah melantik Najib menjadi Menteri Besar Pahang pada tahun 1982 dan kemudian melantiknya menjadi Menteri dalam kabinet Mahathir pada tahun1986. Najib membantu balik Dr. Mahathir dalam pemilihan UMNO pada tahun 1987, dimana Dr. Mahathir menghadapi cabaran paling sengit daripada Tengku Razaleigh. Mahathir hampir kalah dan jika bukan kerana sokongan saat terakhir daripada Najib, maka Mahathir tidak mungkin akan menang dengan hanya majoriti 31 undi. Berucap dalam satu program di Tawau, Sabah baru-baru ini, Najib berkata, “Pada tahun1987, saya antara yang menyokong dia. Dia (Dr Mahathir) kekal menjadi Perdana Menteri sebab apa? Sebab kita bersama dalam susah. Apabila dalam susah, kita beri sokongan, dia kekal.”
Semua diktator biasanya memilih orang yang lemah untuk menjadi pengganti mereka kerana tidak mahu warisan mereka hilang. Maka, Dr. Mahathir melantik Abdullah Ahmad Badawi yang dianggap ramai sebagai seorang yang lemah. Dengan cara ini, Dr. Mahathir dapat mengawalnya dan melaksanakan agendanya dari luar. Namun, apabila Abdullah Badawi enggan berbuat demikian dalam beberapa perkara dan keputusannya bercanggah dengan Dr Mahathir, maka Dr. Mahathir mula mengatur langkah menyingkirkannya sebagai Perdana Menteri, di mana Mahathir sendiri keluar dari UMNO dan akhirnya Abdullah Badawi dapat digulingkan dan digantikan oleh Najib, orang pilihan Dr. Mahathir pada masa itu. Dr. Mahathir juga menjadi ahli semula dalam UMNO apabila Najib menjadi PM.
Kemudiannya Najib melantik anak Mahathir, Mukhriz menjadi Menteri Besar, sepertimana dulu Dr. Mahathir melantik Najib menjadi MB. Maka, kini cinta ini bertukar menjadi benci. Mahathir melawan Najib dan cuba menyingkirkan Najib sebagai PM dan Najib pula sebagai balasan telah menyingkirkan Mukhriz sebagai MB Kedah.
Madu di satu tangan, racun di satu tangan
Dalam UMNO, seorang Presiden UMNO susah dan tidak boleh dicabar kerana beliau memegang portfolio Menteri dalam Negeri dan Menteri Kewangan dalam tangan mereka. Presiden mengawal aliran wang dan juga kuasa penahanan seperti SOSMA dan lain-lain di tangan mereka. Madu di satu tangan dan racun di satu tangan, siapa berani derhaka?
Tun Razak, semasa darurat, dengan kuasa MAGERAN dapat menghabiskan semua musuh politik dan naik ke atas. Begitu juga Dr. Mahahtir adalah antara orang yang paling bertanggungjawab dalam menggunakan segala institusi di bawahnya, dari polis, kehakiman, Peguam Negara dan lain-lain lagi. Beliau juga menggunakan pelbagai undang-undang lama dan yang baru digubal atau dipindanya untuk kekal berkuasa. Antaranya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Penerbitan & Percetakan, Akta Kesatuan Sekerja, Akta Univeriti dan Kolej Universiti(AUKU), Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan lain-lain lagi untuk mengawal segala gerakan, parti politik, NGO, kesatuan sekerja dan mahasiswa. Malah Mahathir juga telah secara tidak langung memecat Ketua Hakim Negara dan membuat pindaan Perlembagaan untuk mengurangkan kuasa raja.
Kini, Najib hanya sekadar memperhalusi segala ajaran Dr Mahathir dan membuat semua yang pernah dilakukan oleh Dr. Mahathir sebelum ini. Kadangkalanya Najib lebih hebat daripada Dr. Mahathir sendiri. Najib kini menguasai Menteri Kewangan, Menteri Dalam Negeri, PDRM, Peguam Negara dan memastikan kedudukan dan kuasanya dalam UMNO selamat. Siapakah gurunya jika bukan Dr. Mahathir? Kini anak murid sudah lawan balik gurunya… Padan muka Mahathir!
Dalam semua episod ini, biasanya Presiden UMNO yang menjadi Perdana Menteri juga memegang jawatan Menteri Dalam Negeri, kerana mereka boleh menggunakan kuasa untuk menahan musuh politik melalui ISA dan sekarang SOSMA. Dr. Mahathir memahami bahawa Menteri Kewangan juga adalah amat penting kerana jawatan ini memegang khazanah negara, maka beliau menjadi Perdana Menteri pertama menjadi Menteri Kewangan, dan kini Najib mengikut jejaknya. Melalui Kementerian inilah, segala kuasa wang dapat dikawal – maka timbulnya 1MDB dan sebagainya.
Pada 20 Januari yang lalu, apabila sekumpulan pemimpin UMNO Kedah sepakat mengumumkan pendirian hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar Mukhriz Mahathir, percayalah ia telah dirancang di Putrajaya dan bukan di Alor Setar. Sudah pastinya Ahmad Bashah tidak berani membuat satu rebutan kuasa tanpa sokongan daripada Putrajaya.
Semua cubaan penyokong Mukriz di jalanraya dan stadium, tidak dapat membuahkan apa-apa hasil kerana 14 daripada 15 bahagaian sudahpun bersedia untuk habiskan Mukriz, dan mereka tidak perlu bertanya kepada rakyat, kerana ini bukan dan tidak pernah menjadi budaya dalam UMNO.
Parti pembangkang pula cuba meminta ia ditentukan melalui undi tidak percaya di DUN Kedah. Namum apakah bezanya cara UMNO dan Pakatan Rakyat kendalikan krisis Menteri Besar di Kedah dan Selangor? Kedua-duanya tidak pernah membawa kepada rakyat, tidak pernah membawa kepada DUN dan tidak pernah membuat undi tidak percaya.
Namun, keputusan dalam UMNO tidak pernah diambil oleh DUN tetapi oleh PM. Pada 21 Januari, Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor berkata tidak ada keperluan untuk mengambil tindakan disiplin terhadap 14 orang Ketua UMNO Bahagian di Kedah, maka sudah sahlah bahawa ia mendapat restu sepenuhnya daripada Putrajaya. End game untuk Mukhriz.
Pada 29 Januari yang lalu, Najib pengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di mana Mukhriz diarahkan keluar dari mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO. Pada 3 Februari, Mukhriz umum letak jawatan sebagai Menteri Besar Kedah dan Bashah menggantikannya.