Dr Mahathir tak patut bersumpah, kata ahli agama


Mahathir_Mohamad

Ahli agama berkata, sekiranya sumpah depan Al-Quran dijadikan satu kebiasaan dalam masyarakat, orang ramai akan memandang ringan tindakan tersebut. 

(The Malaysian Insider) – Selepas Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan kesediaannya bersumpah dengan Al-Quran jika diminta berbuat demikian bagi membuktikan kebenaran kata-katanya, para ahli agama berpendapat tindakan sedemikian adalah tidak digalakkan.

Menurut mereka, sekiranya sumpah depan Al-Quran dijadikan satu kebiasaan dalam masyarakat, orang ramai akan memandang ringan tindakan tersebut.

Bekas presiden Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Ahmad Awang berkata, sumpah sewajarnya dilakukan dengan nama Allah dan bukannya dengan Al-Quran.

“Apabila dia (Dr Mahathir) sedia bersumpah mengatakan apa dia kata itu benar, itu dalam konteks yang hanya sekadar untuk meyakinkan orang yang dia bukan cakap main-main.

“Tetapi dari segi agama, memang Islam tidak menggalakkan orang yang suka bersumpah.

“Ini kerana, akhirnya jika bersumpah menggunakan nama Allah, sekali pun untuk membuktikan kebenaran, jika ia dijadikan kelaziman dan kebiasaan, kelak orang akan meringan-ringankan sumpah itu.

“Kalau sumpah itu tidak benar pula, lagi berat,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider diminta mengulas kenyataan Dr Mahathir semalam.

Bekas perdana menteri itu berkata, beliau akan mengangkat sumpah bersaksikan Al-Quran jika ada pihak menganggap kenyataan yang dikeluarkannya berunsur fitnah atau tidak betul.

Namun, Ahmad berkata, beliau tidak menganggap tindakan Dr Mahathir itu sebagai mempermainkan agama kerana ia bergantung kepada keadaan sesuatu perkara.

Cuma, beliau yang merupakan penasihat umum Parti Amanah Negara (Amanah) itu berpendapat, sumpah tidak boleh sewenang-wenangnya dilakukan.

“Tak timbul soal dia nak peralatkan agama. Cuma saya katakan tadi, tak bolehlah seseorang itu sewenang-wenangnya nak bersumpah walaupun boleh.

“Tetapi, dalam konteks apa yang Dr Mahathir lakukan ini? Apa perlunya dia bersumpah? Itu persoalannya,” soal Ahmad sambil berkata, dalam Islam sumpah dilakukan oleh mereka yang tertuduh untuk menafikan daripada tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.

“Cuma saya nak katakan, orang Melayu sikit-sikit bersumpah (dengan) Al-Quran. Sebenarnya sumpah dengan nama Allah.

“Dari segi agama, di mana pun, sumpah cuma menggunakan nama Allah, itu sahaja,” katanya.

Semalam, bekas perdana menteri itu menyatakan kesediaannya bersumpah depan al-Quran jika diminta berbuat demikian jika ada pihak yang menganggap kenyataan yang dikeluarkan terhadap Datuk Seri Najib Razak berunsur fitnah atau tidak betul.

Dr Mahathir sebelum ini mencabar peguam negara bersumpah menggunakan Al-Quran susulan isu membabitkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Bank Negara Malaysia.

Pendakwah Dr Fathul Bari Mat Jahya berkata, perkara ini seharusnya diselesaikan dengan cara yang bijaksana sambil mempersoalkan sampai bila ia akan selesai sekiranya individu yang dituduh dan menuduh melafazkan sumpah mereka.

“Contohnya, dulu orang minta Datuk Seri Anwar Ibrahim bersumpah, dia tak sumpah. Najib dah bersumpah pun, orang kata dia bohong.

“Benda macam ini nak berterusan sampai bila? Nanti cuba tengok bila Dr Mahathir bersumpah pula, dan ada orang kata sumpah Dr Mahathir itu betul, sumpah yang lain macam mana?

“Implikasi kalau Dr Mahathir bersumpah pula, nak kata apa?” soal Fathul yang juga ahli exco Pemuda Umno.

Sependapat dengan Ahmad, beliau berkata, sekiranya sumpah dilakukan, ia bukan dengan al-Quran tetapi dengan nama Allah.

Beliau turut setuju, pihak yang bersumpah sepatutnya ialah individu yang dituduh, bagi menafikan tuduhan yang dibuat ke atasnya, bukan sebaliknya.

Namun katanya, sumpah yang dilakukan itu tidak bermakna seseorang itu suci dunia akhirat, cuma setidak-tidaknya mereka selesai dari tuduhan fitnah itu.

“Jadi saya minta, isu-isu yang seperti ini, kalau boleh diselesaikan dengan cara bijaksana.

“Saya harap kita perlu sama-sama memikirkan keamanan, kesejahteraan negara dan perpaduan di kalangan kita.

“Jadi pandangan saya, sumpah ini jangan sampai dijadikan satu hal mainan yang sampai satu masa ia tak ada nilai,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Sementara itu, Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid turut menegaskan, bersumpah hanyalah dilakukan dengan nama Allah dan bukannya Al-Quran.

“Al-Quran bukan alat untuk bersumpah. Sepatutnya kita bersumpah dengan nama Allah.

“Jadi, dari segi agama, memang menjadi satu kesalahan bersumpah dengan Al-Quran,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

 

 



Comments
Loading...