Hadi tidak akan sertai perhimpunan anti Najib


Hadi-Najib

“Saya anti Umno….tetapi tidak (anti) orang Umno, orang Umno tidak, orang Umno kita (PAS) hendak berbaik.”

(TMI) – Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengatakan beliau tidak akan menyertai sebarang perhimpunan anti Datuk Seri Najib Razak termasuk yang dijadualkan pada 27 Mac depan.

Presiden PAS itu berkata, walaupun beliau anti Umno, tidak bermakna beliau tidak suka kepada ahli parti Melayu itu.

“Ada pun parti Umno sudah banyak (buat) kesilapan. (Oleh itu) saya tidak mahu terlibat dalam himpunan (anti-Najib) itu,” katanya seperti dilaporkan portal Sinar Harian Online hari ini.

“Saya anti Umno….tetapi tidak (anti) orang Umno, orang Umno tidak, orang Umno kita (PAS) hendak berbaik.”

Ahli Parlimen Marang itu bercakap kepada Sinar Harian mengulas himpunan anti-Najib yang dijadualkan berlangsung 27 Mac ini.

Disember lalu, Hadi dan Najib mengenakan baju Melayu yang sedondon warnanya duduk sepentas dalam satu program di Kuala Lumpur.

Ini menyebabkan bekas naib presiden PAS, Datuk Husam Musa mengkritik kepimpinan Hadi yang dikatakan ingin menyelamatkan Umno.

Sebelum ini, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim menyuarakan hasrat menganjurkan satu perhimpunan bagi mendesak Najib untuk melepaskan jawatan perdana menteri.

Bagaimanapun Zaid kemudiannya berkata, acara yang dijadualkan pada 27 Mac itu bukan merupakan demonstrasi tetapi sebenarnya merupakan satu acara yang diadakan secara “tertutup” dan atas “jemputan sahaja” kepada kira-kira 1,000 orang.

“Saya lihat ramai masih bercakap mengenai perhimpunan pada 27 Mac, ia sebenarnya 1 perjumpaan pemimpin dalam suasana tertutup.

“Saya tidak pernah kata ia akan menjadi protes jalanan atau perhimpunan awam. Saya bukannya seperti Bersih,” tulis Zaid melalui akaun Twitter sebelum ini.



Comments
Loading...