Rafizi disiasat berhubung kenyataan palsu, fitnah Tabung Haji


rafizi-ramli parliment

(Antara Post) – Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli hari ini dipanggil memberi keterangan atas dakwaan memberi kenyataan palsu dan memfitnah berhubung kenyataannya sebelum ini berkaitan beberapa siri pendedahan skandal berkaitan Lembaga Tabung Haji.

Ahli Parlimen Pandan itu mempersoalkan mengapa beliau diambil keterangan sebagai saksi dalam siasatan kes Tabung Haji itu dan bukannya sebagai suspek.

“Soalan-soalan yang ditanya tadi ialah berkisar mengenai 2 perkara iaitu pertama, analisa saya mengenai kedudukan kewangan Tabung Haji yang menunjukkan Tabung Haji mempunyai rizab negatif.

“Kedua, mengenai kenyataan ‘corporate guarantee’ (jaminan korporat) yang diberi Tabung Haji.

“Saya dimaklumkan kenyataan tadi diambil sebagai saksi kepada siasatan.

“Cuma saya tak rasa ada orang lain yang komen mengenai 2 perkara itu,” katanya di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di Kuala Lumpur hari ini.

Pada 28 Februari, Tabung Haji membuat laporan polis terhadap Rafizi berhubung dakwaan ia memberi jaminan korporat kepada syarikat bersekutunya, TH Heavy Engineering Berhad (THHE).

Menurut peguam yang mewakilinya, Faizal Rahman, Rafizi disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana kenyataan memfitnah dan Seksyen 203 kanun sama kerana mengeluarkan kenyataan palsu.

Faizal berkata, ketika soal siasat dijalankan selama lebih kurang 1 jam itu, walaupun pihaknya mengambil pendirian berdiam diri, namun mereka sudah memberikan kerjasama yang baik kepada pihak polis.

Rafizi berkata, beliau dinasihatkan peguamnya agar tidak memberi sebarang kenyataan setelah melihat soalan dan dokumen yang ditunjukkan kerana ia menimbulkan keraguan.

“Saya agak ragu-ragu sama ada saya dipanggil sebagai saksi. Kemudian, jika saya memberikan keterangan, saya kemudian akan didakwa,” katanya.

Katanya, Tabung Haji sepatutnya menjawab semua tuduhan ini kepada penabung dan meyakinkan mereka yang menyimpan wang dengan pihak itu, bukannya membuat laporan polis dengan harapan beliau berhenti membuat kenyataan mengenai mereka.



Comments
Loading...