Mukhriz dakwa Najib belanja RM1.5b untuk PRU13


mukhriz

(Sinar Harian) – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui membelanjakan sebanyak RM1.5 bilion daripada ‘derma’ RM2.6 bilion untuk PRU13 yang lalu.

Perkara itu didedahkan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir pada satu program di Kampung Meranti, Kelantan, baru-baru ini.

“Saya terkejut apabila dalam satu perjumpaan pengerusi-pengerusi perhubungan Umno negeri dengan presiden parti, saya hadir sama dan semua pengerusi perhubungan pun ada sama, dan ketika itu bila saya tanya mengenai RM2.6 bilion ini, Setiausaha Agung Umno, (Datuk Seri) Tengku Adnan (Tengku Mansor) pula yang menyampuk, presiden sendiri tak jawab.

“Dia kata sebenarnya kita banyak menggunakan wang ini untuk PRU13. Dia kata kita kena belanja banyak nak pastikan kita menang. Tapi dia tak boleh nak kata berapa banyak dia belanja,” katanya yang dipetik menerusi video berdurasi 2:45 minit yang dimuatnaik oleh akaun din turtle di YouTube pada 7 Mac lalu.

Mukhriz berkata, Najib kemudiannya mencelah perbualan itu dan mengakui boleh menyatakan berapa yang telah dibelanjakan.

“Katanya pada PRU13, kita (BN) telah belanja RM1.5 bilion. Saya terkejut bila dengar presiden kata begitu.

“Saya fikir balik RM1.5 bilion, ke mana pergi duit itu. Saya tak nampak yang kita dah belanja banyak macam itu dan hasilnya tak berapa memberangsangkan. Dulu kita tak pernah belanja duit macam itu pun boleh menang dua pertiga.

“Jadi bayangkanlah satu lagi perkara yang saya rasa pelik dan hairan, RM2.6 bilion yang dia (Najib) terima katanya derma daripada Arab kalau tolak RM1.5 bilion belanja PRU13, maksudnya tinggal RM1.1 bilion. Macam mana dia boleh kata dia pulangkan RM2.03 bilion balik ke Arab,” katanya.



Comments
Loading...