Pemuda PAS PP desak LGE bercuti sewaktu siasatan SPRM


Lim-Guan-Eng

(Penang Kini) – Pemuda PAS mendesak Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng supaya bercuti sehingga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melengkapkan siasatan berhubung pembelian banglonya.
Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, langkah itu bagi memastikan ketelusan dan proses siasatan dapat dilakukan dengan pantas.
“Pemuda PAS berpendapat bahawa Lim perlu bercuti daripada jawatannya sebagai KM sehingga SPRM melengkapkan siasatannya.
“Kami juga menyokong pendirian Presiden PAS, Abdul Hadi Awang bahawa Lim tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah oleh mahkamah.
“Pendirian Hadi menunjukkan kebesaran hati beliau dalam mempertahankan seseorang yang belum didapati bersalah sekalipun orang itu mengisytiharkan PAS sebagai saingan atau musuh, katanya.
Pendirian itu tegasnya, selari dengan pendekatan budaya politik matang dan sejahtera yang dipraktikkan PAS iaitu rasional dalam membuat keputusan dan profesional dalam tindakan.
“Sikap presiden PAS melambangkan konsistensi PAS terhadap prinsip perjuangan Islam yang mempertahankan kebenaran, sekalipun ia datang daripada pihak yang berlawanan.
“Pendekatan ini jauh berbeza dengan pendekatan politik konvensional sesetengah pihak yang mengambil pendekatan konfrontasi menewaskan musuh dengan apa jua cara, demi mencapai kepuasan politik kekuasaan semata-mata,” katanya.

 

 



Comments
Loading...