Dosa-dosa Rosmah?
Rahimi Osman
Kebelakangan ini, cerita-cerita mengenai Rosmah Mansor kembali hangat diperbualkan terutamanya di media sosial. Macam-macam cerita keluar dan kemudian dikongsi oleh orang-orang yang kebanyakkan tidak langsung mengenali Rosmah. Saya tidak menyalahkan mereka kerana saya juga pernah duduk ditempat yang sama, memang lumrah kita ni seronok dan ghairah dengan cerita-cerita hangat. Soal betul atau tidak, itu tidak menjadi soal langsung. Saya juga tidak mahu tertinggal dan ingin kongsikan pengalaman saya mengenai Rosmah.
Kali pertama saya mendengar nama dan melihat Rosmah Mansor adalah pada tahun 1997 ketika masih di bangku sekolah. Pada waktu itu KFC Malaysia menganjurkan tayangan amal filem Star Wars Return To Big Screen untuk anak-anak yatim. Saya bukanlah seorang anak yatim, tetapi saya mengikuti program tersebut bersama ayah saya yang bekerja dengan Datuk Sarit Yusuf, Pengerusi KFC ketika itu yang juga merupakan tok menakan saya. Rosmah hadir sama untuk menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim atas kapasiti sebagai isteri kepada Menteri Pendidikan pada ketika itu.
Kemudian saya mendengar lagi nama Rosmah disebut-sebut pada malam pengumuman keputusan Pilihanraya 1999. Ketika menunggu keputusan untuk kerusi Parlimen Temerloh yang ditandingi Datuk Sarit sehingga hampir lewat malam, hangat diperkatakan bahawa Najib telah kalah di Pekan dan Rosmah telah pengsan. Dalam keadaan kelam kabut itu, entah dari mana sumber berita tersebut datang. Akhirnya, barulah dapat disahkan bahawa berita itu palsu dan Najib menang tipis dengan 200 undi di Pekan.
Selepas itu nama Rosmah jarang disebut lagi sehinggalah Najib menjadi Timbalan Perdana Menteri, tapi saya tidak lah ambil peduli sangat dan cerita-cerita mengenai Rosmah ini setakat cerita di kedai kopi. Waktu itu tidak ada media sosial seperti sekarang, maka tidaklah cerita-cerita dogeng ini mudah merebak. Lagipun, tuduhan liar lebih ditumpukan kepada isteri Perdana Menteri pada ketika itu, Allayarhamah Datin Seri Endon. Tidak kurang juga Allahyarhamah menerima fitnah dan tohmahan pada ketika itu, sehingga muncul cerita beliau membeli batik sehingga jutaan ringgit.
Entah apalah budaya politik di Malaysia ini, isteri seorang Perdana Menteri memang menjadi sasaran. Tun Siti Hasmah dulu juga tidak terlepas dari tohmahan, daripada tuduhan mengenai kaitan adik beradik beliau dalam projek mega sehinggalah tuduhan Tun Hasmah menghidapi lukemia dan memakai rambut palsu kerana beliau sebenarnya botak. Tun Mahathir sehingga dikatakan mencari isteri kedua seorang Cina Singapura. Itulah budaya kolot politik di Malaysia ini.
Fitnah atau Benar?
Apabila saya mula berkhidmat dengan Anwar Ibrahim, barulah Rosmah kembali masuk kedalam radar dan fokus saya. Waktu itu, serangan pembangkang dipusatkan kepada Najib sebagai Timbalan Perdana Menteri, tidak terlepas dari serangan ini adalah isteri beliau sendiri. Satu persatu cerita dongeng dikeluarkan untuk membunuh karakter Najib dan Rosmah, daripada kes pembunuhan Altantuya, jual beli aset ketenteraan dan juga Rosmah mempunyai bilik di Kementerian Pertahanan. Saya akui, saya juga pada waktu itu percaya dan terikut-ikut dengan cerita dogeng ini. Tidak tahu apa jenis kebodohan yang menguasai benak fikiran saya ketika itu sehingga boleh mempercayai cerita-cerita tak logik ini tanpa sebarang soal.
Berdasarkan cerita-cerita dogeng ini, satu arahan telah dikeluarkan kepada beberapa orang individu untuk menyiasat dan mendapatkan apa jua bukti yang ada bagi mengaitkan Najib dan Rosmah dalam kisah ini, khususnya kisah pembunuhan Altantuya. Arahan tegas dan jelas seolah-olah mereka tidak harus balik dengan tangan kosong, kalau tiada bukti, bagi ada! Jika tidak boleh dengan cakap, gunalah wang. Maka satu gerakan sulit dibuat untuk menyusup masuk ke setiap tempat, individu atau institusi yang boleh dijadikan maklumat. Malangnya operasi ini gagal kerana mereka tidak menjumpai apa-apa bukti sekalipun.
Kegagalan ini sangat menghampakan dan ada yang mencadangkan untuk bukti palsu direka dan ditokok tambah dengan cerita-cerita yang lebih dasyat dan menyeramkan. Beberapa sahabat saya dalam PKR waktu itu tidak bersetuju, termasuk Zulkifli Noordin. Walaupun ada pandangan beberapa liberalis bahawa konsep ‘matlamat menghalalkan cara’ boleh digunakan, namun bagi kami fitnah tidak sepatutnya dijadikan cara dalam apa jua keadaan sekalipun. Malangnya, idea bodoh ini tetap digunapakai oleh mereka.
Kemudian muncullah cerita Altantuya mengandungkan anak Najib, Rosmah berada ditempat pembunuhan dan macam-macam lagi cerita untuk meyakinkan rakyat dengan tohmahan mereka. Idea ini ternyata bodoh apabila keluar gambar pada malam pembunuhan Altantuya tersebut Rosmah sebenarnya berada di Tabung Haji untuk meraikan anak-anak yatim. Najib pula dengan berani melafazkan sumpah di sebuah masjid di Permatang Pauh bahawa beliau tidak mengenali Altantuya. Sedangkan waktu itu, Anwar sendiri takut melafazkan sumpah dia tidak meliwat Saiful. Turut menjadi mangsa adalah Sdr Raja Petra apabila beliau menerima maklumat-maklumat palsu sehingga ada yang meyakinkan beliau untuk membuat akuan bersumpah. Pada tahun 2011, Sdr Raja Petra juga telah mengesahkan bahawa beliau tidak menuduh Rosmah tetapi menyatakan bahawa beliau telah diberikan maklumat oleh beberapa individu yang rapat dengan Anwar mengenai cerita bohong ini.
Semasa kes liwat dua meletup, sekali lagi nama Najib dan Rosmah telah dikaitkan sebagai konspirator utama. Kali ini, saya merupakan pemain utama dalam memastikan struktur cerita ini kemas dan meyakinkan. Saya dipaksa untuk membuat satu akuan bersumpah yang mengatakan bahawa saya mengetahui Najib dan Rosmah adalah perancang utama kes liwat untuk menjatuhkan Anwar. Atas sifat pengecut dan bodoh saya untuk melawan perkara batil ini pada waktu itu, maka saya turutkan permintaaan mereka.
Menyesali perbuatan tersebut, saya telah membuat satu Akuan Bersumpah yang benar dan lengkap mengenai apa sebenarnya yang terjadi. Saya jelaskan pada mulanya Najib dan Rosmah sendiri teragak-agak untuk percaya bahawa Anwar meliwat Saiful, jadi bagaimana pula mereka boleh jadi konspirator utama. Saya juga mencabar peguam Anwar untuk mengeluarkan dan mendedahkan Akuan Bersumpah palsu saya untuk dibandingkan dengan Akuan Bersumpah yang saya buat dengan rela hati. Jika dibaca dan dibandingkan keduanya, mudah dan senang untuk rakyat menilai mana yang betul mana yang bohong. Malangnya, mereka gagal untuk mengeluarkan akuan bersumpah tersebut dengan alasan ianya telah hilang. Kelakar, dalam belasan peguam-peguam Anwar yang hebat, mereka boleh hilang satu dokumen penting yang boleh dijadikan bukti di mahkamah.
Saya yakin bahawa selama ini Rosmah banyak difitnah kerana saya sendiri pernah menjadi tukang fitnahnya. Tetapi walaupun saya telah mengubah kiblat politik saya kepada pro-BN, saya masih lagi percaya bahawa Rosmah ini seorang isteri pemimpin yang boros. Apatah lagi bila keluar cerita cincin RM24 juta, mana mungkin saya tidak percaya sedangkan terdapat dokumen cincin tersebut yang tertera nama Rosmah diatasnya. Allah telah mengaturkan segalanya, saya berjumpa dengan seorang sahabat yang juga bekerja dengan Rosmah. Rizal Mansor, kebetulan Rizal juga sama seperti saya, ayahnya orang Pekan dan emaknya orang Temerloh.
Satu demi satu soalan saya tujukan pada Rizal mengenai Rosmah, kecuali bab Altantuya dan kes Saiful-Anwar itu tak payah la Rizal cerita sebab saya lebih arif. Perlahan-lahan Rizal keluarkan beberapa helai dokumen dari begnya, sudah tentu cerita yang paling saya mahukan penjelasan adalah cincin RM24 juta. Saya beristigfar panjang, barulah saya tahu pada hari itu bahawa ianya satu lagi fitnah. Memang benar harga cincin tersebut RM24 juta, tetapi ianya tidak dibeli oleh Rosmah. Cincin tersebut dihantar oleh pembuatnya Jacob and Co kepada bakal besan Rosmah ketika itu, Maira Nazarbayev yang merupakan pelanggan setia Jacob untuk dilihat.
Rizal memberitahu bahawa kebetulan Maira pada ketika itu berada di Malaysia dan tinggal di rumah Rosmah, maka apabila Jacob menghantar cincin tersebut untuk dilihat oleh Maira atas faktor keselamatan dan insuran satu penama tempatan diperlukan dan Maira meletakkan nama Rosmah atas dokumen tersebut. Rizal kemudian menunjukkan satu lagi salinan dokumen membuktikan bahawa cincin itu telah keluar dari Malaysia kerana Maira tidak membelinya. Cincin itu bergerak lagi ke beberapa lokasi luar untuk dipamerkan kepada bakal pembeli-pembeli terpilih dan dengar khabar ianya dibeli oleh seorang hartawan dari Arab. Rupanya memang itu salah satu cara Jacob membuat jualan barangan yang mahal, dengan menghantar barangan tersebut untuk dinilai oleh beberapa individu atau pelanggan setia.
Rizal memang sedang membuat beberapa siri penjelasan dan ceramah tertutup untuk menjelaskan segala fitnah dan isu ini. Tetapi saya beritahu dia bahawa ceramah terutup tidak cukup, kita beranikan diri dan pergi secara terbuka. Rizal setuju dan kami menjelajah ke seluruh negara untuk berceramah. Kebetulan pada waktu itu hampir dengan pilihanraya dan saya banyak mendapat jemputan untuk berceramah, maka setiap ceramah saya akan heret Rizal sekali. Ayah saya sendiri mengalakkan malah memarahi kami jika tidak aktif berceramah, katanya selama ini kita rakyat buat dosa kering percaya pada benda fitnah maka adalah satu kewajipan untuk orang yang tahu perkara sebenar untuk memberi penjelasan.
Projek dan Rosmah
Bukanlah tujuan saya untuk membodek Rosmah dalam ceramah atau cerita yang saya tulis ini kerana saya percaya dan yakin bahawa tuduhan Rosmah mampu menguasai kementerian dan menghadiahkan projek jutaan ringgit adalah satu cerita bohong. Maka tidak ada faedah jika saya nak bodek Rosmah untuk dapatkan projek. Saya juga memahami bagaimana urusan perolehan kerajaan, sebarang surat dan sokongan dari Rosmah (walaupun sebenarnya surat-surat begini tidak pernah dibuktikan wujud) tidak boleh dijadikan sebab untuk bahagian perolehan memberikan projek.
Kalau nak projek, pergilah bida atau cadang dengan harga yang munasabah. Sediakan segala apa keperluan yang disebut serta lulus aspek teknikal dan kewangan, maka Insyallah anda boleh memperolehi projek tersebut. Sebab itu ramai juga rakan saya yang duduk di pembangkang memperolehi projek besar dari kerajaan pusat, kerana mereka boleh mengikut prosedur ini. Mereka ini tidak kenal Rosmah atau Najib, dan tidak mampu untuk dapatkan surat sokongan.
Apa yang saya meluat adalah beberapa orang yang kononnya selama ini membela Najib dan Rosmah, akhirnya bertindak menyerang Najib kerana kecewa apabila tidak diberikan projek kerajaan. Orang-orang inilah sebenarnya kaki bodek, mereka membela tanpa percaya. Mulut mereka kata semuanya Najib dan Rosmah semuanya baik, tetapi hati mereka masih percaya kepada fitnah-fitnah bahawa Rosmah menguasai pelbagai projek. Mereka ini tidaklah mempunyai syarikat, kebanyakkannya cuma menjadi broker sahaja.
Ada juga cerita Rosmah ini ada pejabat di Kementerian Kewangan dan sangat berkuasa. Saya kerap juga pergi ke kementerian atas urusan kerja, tetapi tidak pernah lah saya nampak bilik Rosmah samada di Blok Selatan, Utara atau Tengah. Rizal juga memberitahu saya, bilik yang diperuntukkan untuk isteri Perdana Menteri di PMO juga telah dipecahkan atas permintaan Rosmah sendiri. Bagi Rosmah, lebih baik jika ruang itu dijadikan ruang kerja untuk pegawai-pegawai yang bertugas.
Peranan Media Asing
Beberapa hari lalu, seorang sahabat bertanyakan pandangan saya mengenai dokumentari yang dikeluarkan oleh ABC baru-baru ini. Bagi saya ianya bukanlah satu perkara yang pelik kerana mereka juga pernah mengeluarkan dokumentari yang hampir sama untuk memburuk-burukkan Mahathir dalam kes Anwar pada tahun 1999. Hampir sama sehingga babak menerkam Perdana Menteri ketika turun dari kapal terbang juga diulang.
Berdasarkan apa yang saya lalui dan ketahui dalam kes Anwar, saya tahu dan percaya dokumentari ABC pada tahun 1999 juga merupakan satu dokumentari fitnah untuk mewujudkan satu persepsi jahat kepada kerajaan Malaysia. Dan saya juga yakin dokumentari kali ini adalah satu lagi siri baru dengan niat yang sama cuma wataknya berbeza.
Tuduhan dalam Wall Street Journal baru-baru ini juga tidak menghairankan saya, saya pernah memberikan temubual khas di Utusan untuk menceritakan peranan media asing dalam memporak-perandakan negara. Mereka bijak mengatur cerita dan memilih waktu bila cerita itu sepatutnya dikeluarkan. Apabila Bursa Malaysia dan ringgit kelihatan semakin pulih dengan aliran kemasukan pelaburan luar yang tinggi, maka serangan WSJ sekali lagi dilancarkan untuk menakutkan para pelabur disamping memberikan persepsi buruk di kalangan rakyat.
Rosmah shopping? Bohonglah kalau kata Rosmah tak langsung membeli belah. Ianya dilakukan oleh setiap manusia yang normal, cuma jumlahnya sahaja berbeza. Kalau Rosmah berbelanja lebih sikit, ianya tidak hairan. Kalau kita orang biasa ke luar negara pun kita bawa balik berbakul-bakul souvenir untuk diberikan pada keluarga dan sahabat. Apatah lagi seorang isteri Perdana Menteri, sudah tentu dia mempunyai kenalan yang ramai dari istana hinggalah orang rumah ahli kabinet. Belilah cenderahati yang baik sedikit, takkan kita nak beri seorang rakan dari istana ‘fridge magnet’ atau ‘keychain’.
Tapi saya tidak percaya bahawa dia berbelanja melampau sehingga jutaan ringgit untuk shopping seperti yang dilaporkan WSJ. Sebabnya, saya pernah tertipu dengan kes cincin RM24 juta dan saya juga cukup mengetahui dan memahami peranan media asing untuk mewujudkan persepsi buruk terhadap kerajaan dan pemimpin Malaysia.
Dosa Rosmah?
Beberapa hari lepas saya membaca berita Perdana Menteri merasmikan Pusat Autisme Negara yang didirikan oleh Permata Negara melalui Permata Kurnia. Saya diberitahu bahawa Rosmah telah lama berhasrat untuk menubuhkan pusat ini bagi membantu kanak-kanak autisme dan dia sendiri hands-on dalam memastikan operasi pusat ini lengkap segi tenaga pengajarnya, programnya dan kelengkapannya supaya dapat memberikan kesan yang terbaik untuk anak-anak ini.
Saya mengenali beberapa sahabat yang mempunyai anak autisme dan memahami betapa sukarnya mereka menghadapi cabaran tersebut. Mereka ini cukup berterima kasih dan menghargai jasa Rosmah dalam menubuhkan pusat autisme ini.
Selain dari Pusat Autisme ini, banyak juga insiatif yang dilakukan oleh Rosmah untuk pembangunan kanak-kanak, khususnya mereka yang kurang bernasib baik. Saya pernah mendengar seseorang berkata bahawa “orang yang mencintai dan menyayangi kanak-kanak, hatinya tidak mungkin hitam”. Itulah kata-kata yang masih saya pegang pada hari ini.
Saya terfikir, segala usaha ini akan terus digunakan dan memberikan banyak manfaat kepada kanak-kanak pada masa akan datang. Sebagai orang Islam, kita percaya bahawa orang yang berusaha menubuhkan institusi begini akan beroleh pahala selagi ianya dipakai walaupun orang itu sudah tidak ada. Amat beruntunglah orang sebegini. Kita tanya pula apa jasa kita selama kita hidup untuk ditinggalkan dan dibawa bekal ke akhirat? Layakkah kita terus menurus mengutuk orang seperti ini?
Saya juga tidak lupa bahawa Rosmah pernah menjejakkan kaki di bumi Gaza untuk membantu masyarakat disana. Saya cukup mengangumi Najib apabila dia berani melangkah masuk ke Gaza yang sedang berperang atas dasar kemanusiaan dan semangat persaudaraan dalam Islam. Jika saya, mungkin saya berani untuk ke Gaza juga tapi belum tentu saya berani membawa isteri dan keluarga saya bersama. Tetapi Najib berani. Dan ini bukanlah kali pertama Najib melakukanya, semenjak menjadi Menteri Pertahanan Najib telah beberapa kali melangkah masuk ke beberapa bumi yang dilanda konflik untuk bersama dengan pegawai dan anggota ATM yang berkhidmat sebagai pasukan pengaman.
Saya mengajak semua supaya kita tidak mudah terpengaruh dan cepat menyebarkan berita yang kita sendiri tidak tahu hujung pangkalnya. Apatah lagi jika cerita-cerita ini dibawa oleh mereka yang mempunyai agenda seperti media asing. Saya sebenarnya tidaklah kesihankan sangat dengan Najib dan Rosmah atas segala fitnah yang dilemparkan, saya lebih kasihankan mereka yang mempercayai dan menyebar fitnah tersebut.
Ada yang tanya kenapa saya masih menyokong Najib, kalau saya nak jawab saya boleh tulis sehingga 10 mukasurat kenapa saya menyokong Najib. Dari dasar ekonomi yang dibuat sehinggalah usaha memperkasakan Islam di Malaysia. Paling utama adalah keberanian Najib dalam melaksanakan dasar-dasar yang tidak popular demi kepentingan negara. Insyallah, bila ada kesempatan saya akan tulis pendirian saya mengenai Najib pula.