Tanda awal kerjasama PAS dengan PKR berkubur di Sarawak


pkrpas

(Agenda Daily) – Keputusan PKR meletakkan empat calon bertanding di kerusi yang turut ditanding PAS dijangka menjadi penamat kepada kerjasama PAS dengan PKR yang masih bertahan selepas Pakatan Rakyat terkubur tahun lalu.

PAS sebelum ini sudah menyatakan bahawa parti itu bersikap tunggu dan lihat sambil berharap PKR tidak mengkhianati kerjasama kedua-dua parti atau berdepan perpecahan jika bertanding di kerusi yang dipilih PAS.

pas pkr bercerai di prn sarawakBagaimanapun, dengan tindakan itu, kerjasama PAS dan PKR khususnya di Sel;angor dijangka turut berkubur malah kedua-dua parti bakal bermusuhan pada PRN Sarawak kali ini.

Jelas PKR mengkhianati PAS apabila mencalonkan Abdul Jalil Bujang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak, Joshua Jabing (DUN Kakus), Morni Samsudin (DUN Pantai Damai) dan Mohdak Ismail di DUN Lambir  pada Pilihan Raya Negeri (PRN)Sarawak ke 11, pada 7 Mei ini.

PKR membuat kejutan itu apabila senarai 35 calon parti itu yang diumum Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian pada Jumaat turut menamakan empat wakil mereka yang akan menentang PAS.

PAS sebelum itu sudah mengumumkan Kiprawi Aman akan bertanding di DUN Jepak, Clement Bayang (DUN Kakus) dan Zainal Abidin Bin Yet (DUN Pantai Damai) dan Mohammad Arifiriazul Paijo di DUN Lambir.

Pada pilihan raya kali ini, PAS bertanding 11 kerusi – berbanding 5 pada PRN ke 10 pada 2011.

Selain kejutan oleh PKR yang diibarat tikam belakang, parti serpihan PAS, AMANAH turut menamakan 5 calon bertanding menentang calon PAS manakala DAP pula meletakkan dua calon mereka.

PKR, DAP dan AMANAH sudah membentuk Pakatan Harapan selepas Pakatan Rakyat terkubur dengan mengenepikan PAS.

AMANAH menamakan Andri Zulkarnaen Hamden di DUN Beting Maro (PAS – Hamidah Mokhtar), Andrew Jain di DUN Sebuyau (PAS – Wan Abdillah Wan Ahmad), Othman Mustapha di DUN Sadong Jaya (PAS-Asan Singkro), Abang Abdul Halil Naili di DUN Muara Tuang (PAS-Zulkifli Ramli) dan Nani Sahari di DUN Samariang (PAS – Yusof Assidiqqi Ahmad Sharkawi).

Manakala DAP pula meletakkan Dr Ting Tiong Choon di DUN Pujut (PAS – Jofri Jaraiee) dan Baba Emperan di DUN Samalaju (PAS – Zharudin Narudin)

Ini sekaligus bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru atau lebih di kerusi berkenaan mengambil kira calon Barisan Nasional yang turut bertanding.

Tidak mustahil jumlah bertambah sekiranya ada calon Bebas yang berminat bertanding di DUN berkenaan memandangkan kerap muncul calon-calon Bebas pada PRN Sarawak.

Apapun jelas, PAS kini terpaksa berdepan dengan PKR dan DAP yang pernah menjadi sekutu di dalam Pakatan Rakyat serta bekas pemimpin parti itu yang menyertai AMANAH.

Namun, sekurang-kurangnya PRN Sarawak kali ini membuka mata PAS lebih besar untuk pemimpin parti itu sedar bahawa dalam politik adalah tidak mustahil kawan akan jadi musuh.



Comments
Loading...