Kit Siang: Pakatan Harapan Tiada Harapan Rampas Sarawak


lim_kit_siang_sarawak

(Malaysian Digest) – Veteran DAP Lim Kit Siang secara terbuka menyatakan Barisan Nasional (BN) akan kekal berkuasa selepas tamat Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

Menurut Penasihat DAP itu, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem juga akan terus mengekalkan kuasanya memerintah negeri.

“Beliau (Adenan) akan terus jadi Ketua Menteri. Tiada siapa meraguinya. Beliau mahu jadi Ketua Menteri untuk lima tahun lagi? Permintaan ditunaikan pada hari penaamaan (calon),” katanya.

Kit Siang dalam pada itu enggan mengulas mengenai pertembungan antara DAP dan PKR di beberapa kerusi sambil menyifatkan pilihan raya kali ini paling menyedihkan beliau.

“Sasaran kami kini adalah Barisan (Nasional). Kami biarkan PKR sendirian. Samaada Pakatan Harapan boleh bersatu semula, kami uruskannya selepas 7 Mei (hari pengundian).

“Dalam 50 tahun berpolitik, cuma beberapa pilihan raya saya sesedih ini. Tetapi apakah cabaran kini? Ianya adalah hari pengundian 7 Mei,” katanya lagi.

Bercakap dalam satu ceramah di Sarawak, Kit Siang dalam pada itu memohon maaf kepada penyokong Pakatan Harapan ekoran perebutan kerusi antara DAP dan PKR di beberapa kawasan.

“Saya memohon maaf kepada rakyat Sarawak dan Malaysia kerana kegagalan Pakatan Harapan memastikan perlawanan satu lawan satu menentang Barisan Nasional pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dan berjanji kepada pemimpin, ahli dan penyokong DAP disemua peringkat akan bekerja lebih kuat,” katanya.



Comments
Loading...